KUALA LUMPUR 6 Mac — Uzma Berhad diunjur mencatat pertumbuhan keuntungan lebih kukuh dalam beberapa tahun akan datang susulan pengambilalihan terbaharu dan peningkatan aktiviti dalam sektor minyak dan gas (O&G).
Menurut laporan penyelidikan oleh Phillip Capital, kumpulan perkhidmatan tenaga itu baru-baru ini menyempurnakan pengambilalihan Johnson Pump (M) Sdn Bhd dan Johnson Pump Oil & Gas (M) Sdn Bhd berharga RM33.2 juta.
Transaksi yang dimuktamadkan pada 31 Disember 2025 itu dibiayai melalui pinjaman dan menandakan langkah strategik Uzma untuk mengembangkan perkhidmatan pamnya ke segmen hiliran industri O&G.
Phillip Capital yakin pengambilalihan tersebut akan menambah operasi yang kukuh dan menjana tunai kepada portfolio Uzma, disokong oleh pangkalan pelanggan yang mantap dan pelbagai.
"Pihak pengurusan menjangkakan perniagaan baharu ini mampu menyumbang kira-kira RM5 juta dalam keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) setiap tahun, yang boleh meningkatkan ramalan keuntungan kumpulan bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 antara 4% hingga 7%," kata firma itu.
Walaupun pengambilalihan dibiayai oleh pinjaman, kedudukan kewangan Uzma kekal terkawal. Nisbah hutang bersih dijangka sekitar 1.3 kali selepas transaksi, membolehkan syarikat mempunyai ruang untuk meneruskan peluang pertumbuhan pada masa hadapan.
Momentum aktiviti huluan kukuh sokong buku tender
Selain pengambilalihan, Uzma turut mendapat manfaat daripada prospek yang lebih baik bagi aktiviti huluan O&G.
Sehingga 31 Disember 2025, buku tender kumpulan berjumlah RM2.6 bilion, dengan 58% datang daripada projek O&G manakala baki 42% daripada segmen bukan O&G.
Dalam segmen O&G, momentum tender terus dipacu oleh bahagian Well Solutions Uzma, khususnya bagi aktiviti plug-and-abandonment (P&A).
Menurut Activity Outlook 2026 hingga 2028 yang dikeluarkan oleh PETRONAS, kira-kira 70 telaga dijadualkan untuk aktiviti ini pada 2026 berbanding 63 telaga pada 2025, menunjukkan aktiviti huluan yang semakin meningkat.
Perkembangan ini dijangka menyokong keterlihatan keuntungan Uzma apabila syarikat bersedia untuk merebut lebih banyak projek daripada rangka kerja penghapusan telaga yang semakin berkembang.
Kadar penggunaan kapal seismik lebih tinggi, projek tenaga hijau tambah momentum
Kadar penggunaan kapal seismik meningkat kepada 100% pada Februari 2026 berbanding 95% yang dicatat pada suku kedua FY2026.
Peningkatan ini disokong oleh lapan kempen seismik yang dirancang pada 2026, jauh lebih tinggi berbanding tiga kempen yang dijalankan pada 2025.
Aktiviti operasi yang lebih tinggi ini dijangka menyokong momentum keuntungan, dengan hasil suku ketiga FY2026 kumpulan dijangka mencatat pertumbuhan tahun ke tahun susulan pelaksanaan kontrak kapal seismik baharu pada Ogos 2025.
Sementara itu, dalam segmen bukan O&G, peluang tender terutamanya datang daripada projek engineering, procurement, construction and commissioning (EPCC) di bawah Program Korporat Tenaga Hijau Malaysia (CGPP).
Phillip Capital menyatakan bahawa keputusan tender ini dijangka diketahui menjelang Ogos 2026.
Cadangan “BUY” dikekalkan susulan prospek keuntungan lebih baik
Sejajar dengan prospek yang lebih baik, firma penyelidikan mengekalkan cadangan “BUY” ke atas Uzma Berhad sambil menaikkan sasaran harga daripada RM1.03 kepada RM1.10.
Penilaian baharu ini berdasarkan gandaan price-to-earnings lapan kali ke atas ramalan keuntungan FY2027, selepas mengambil kira sumbangan daripada pengambilalihan Johnson Pump.
Uzma kini diniagakan pada kira-kira empat kali forward FY2027 price-to-earnings ratio, yang dianggap menarik oleh penganalisis memandangkan momentum keuntungan yang kukuh serta peningkatan keterlihatan pendapatan berulang selepas pengambilalihan.
Walau bagaimanapun, Phillip Capital menasihati pelabur, risiko berpotensi termasuk pesanan kerja daripada pelanggan lebih rendah daripada jangkaan, kelewatan projek tidak dijangka dan kos pelaksanaan projek yang meningkat boleh menjejaskan keuntungan. - DagangNews.com








