Usaha transformasi MAHB dijangka tingkatkan pertumbuhan, beri pulangan kepada kerajaan - MOF | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Usaha transformasi MAHB dijangka tingkatkan pertumbuhan, beri pulangan kepada kerajaan - MOF

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 18 Feb (Bernama) — Pelbagai usaha transformasi ke atas Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dijangka membuahkan hasil dengan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara sambil memberikan pulangan kepada kerajaan.
 

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), langkah penambahbaikan itu telah menarik lebih banyak syarikat penerbangan asing dan peningkatan pergerakan penumpang di semua terminal lapangan terbang yang dikendalikan operator berkenaan.
 

Tambahnya, MAHB mesti segera melaksanakan pembaharuan dari segi perkhidmatan dan mempergiatkan pelaburan bagi memastikan ia kekal berdaya saing, memandangkan ada banyak persaingan serantau yang semakin sengit dan mencabar.
 

"Antara bidang utama yang akan diberi keutamaan ialah penyiapan projek modal keutamaan tinggi, mempercepatkan pelaburan modal dan membangunkan banyak perniagaan sampingan di sekitar lapangan terbang berkenaan," kata MOF.
 

Kenyataan itu diterbitkan dalam maklum balas bertulis menerusi laman web Parlimen bagi menjawab soalan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai ada pihak yang tidak bersetuju dengan langkah penjualan saham MAHB.
 

Mengulas lanjut, MOF menambah, konsortium Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA), yang mengambil alih MAHB, percaya penswastaan ​​syarikat itu adalah langkah terbaik kerana ia membolehkan keputusan pelaburan jangka panjang lebih cepat.
 

Pada dasarnya, tawaran pengambilalihan MAHB adalah transaksi komersial yang diterajui UEM Group Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai pemegang saham majoriti memiliki 70 peratus dalam konsortium GDA.
 

Konsortium tersebut juga jelas MOF, terdiri daripada Global Infrastructure Partners (GIP) dan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA).
 

Menyentuh isu lima ahli lembaga pengarah bebas MAHB yang tidak bersetuju dengan penjualan itu, MOF berkata, saranan yang dibuat oleh mereka ialah harga tawaran daripada Konsortium GDA tidak menggambarkan nilai sebenar MAHB.
 

"Ia berdasarkan justifikasi bahawa MAHB memiliki prospek pertumbuhan kukuh namun hujah ini telah disangkal oleh konsortium GDA dan percaya bahawa prospek yang dibangkitkan oleh mereka adalah terlalu optimistik," tambahnya. - DagangNews.com