KUALA LUMPUR 7 Nov – LNG Canada telah memulakan pengeluaran gas asli cecair (LNG) di unit pemprosesan keduanya yang dikenali sebagai Train 2, menurut kenyataan syarikat itu.
Kedua-dua unit pemprosesan (Train 1 dan Train 2) dalam projek yang diketuai oleh Shell di Kitimat, British Columbia — masing-masing dengan kapasiti 6.5 juta tan metrik setahun kini beroperasi sepenuhnya, kata jurucakap LNG Canada kepada Reuters.
LNG Canada merupakan loji eksport LNG utama pertama di Kanada dan juga yang pertama di pantai barat Amerika Utara yang menawarkan akses terus ke pasaran Asia, iaitu pasaran terbesar dunia bagi bahan api cecair tersebut.
Apabila beroperasi sepenuhnya, loji itu dijangka dapat memproses kira-kira dua bilion kaki padu gas setiap hari.
Projek LNG Canada, yang mengambil masa hampir tujuh tahun untuk disiapkan, menghantar kargo pertamanya pada 30 Jun lalu.
Namun, beberapa cabaran teknikal menyebabkan proses peningkatan kapasiti (ramp-up) berjalan lebih perlahan daripada jangkaan ramai penganalisis.
Kargo LNG ke-22 telah berlepas dari fasiliti LNG Canada pada Khamis untuk dieksport ke pasaran global, menurut jurucakap berkenaan.
Pemain pasaran menyuarakan harapan agar permulaan operasi Train 2 akan menjana permintaan tambahan yang mencukupi untuk mengurangkan lambakan gas asli dalam storan di Kanada Barat, sekali gus membantu menaikkan harga pasaran.
LNG Canada merupakan usaha sama antara Shell, PETRONAS dari Malaysia, PetroChina, Mitsubishi Corp dari Jepun dan KOGAS dari Korea Selatan.
Bulan lalu, syarikat LNG MidOcean yang disokong oleh EIG dan Saudi Aramco mengumumkan rancangan untuk membeli satu perlima pegangan dalam syarikat usaha sama PETRONAS yang memiliki 25% kepentingan dalam LNG Canada.








