KUALA LUMPUR 1 Julai — Peningkatan aktiviti dagangan minyak sawit mentah (MSM) mendorong urus niaga berulang pihak berkaitan (RRPT) Far East Holdings Berhad melepasi unjuran asal sebanyak 10%.
Menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, transaksi berkenaan turut mencerminkan permintaan dan jumlah yang lebih tinggi daripada jangkaan mereka sepanjang tahun kewangan semasa.
Ujarnya, nilai sebenar terkumpul RRPT melibatkan anak-anak syarikatnya dengan Endau Palm Oil Mill Sdn Bhd (EPOM) dan Rompin Palm Oil Mill Sdn Bhd (RPOM) melebihi notis ditetapkan sebelum itu.
"Pengumuman ini merupakan susulan makluman pada 3 Jun 2026 berhubung variasi antara nilai sebenar dan nilai anggaran RRPT, dengan nilai transaksi terkini setakat 31 Mei 2026," kata Far East lagi.
Bagi transaksi bersama EPOM, nilai anggaran asal adalah RM33.54 juta, namun nilai sebenar terkumpul telah meningkat kepada RM51.92 juta, mewakili lebihan RM18.38 juta atau 54.8% berbanding unjuran.
Kumpulan itu menjelaskan peningkatan ketara ini berpunca daripada jumlah dagangan yang lebih tinggi dilaksanakan oleh EPOM sepanjang tempoh berkenaan, sejajar dengan keperluan operasi perniagaan.
Sementara itu ujar Far East, transaksi bersama RPOM turut mencatatkan peningkatan apabila nilai sebenar terkumpul mencecah RM37.94 juta berbanding anggaran awal hanya kira-kira RM33.15 juta.
"Peningkatan tersebut mewakili lebihan sebanyak RM4.79 juta atau 14.46% berbanding nilai yang dianggarkan sebelum ini disebabkan jumlah dagangan MSM lebih tinggi daripada jangkaan," katanya.
Kedua-dua transaksi tersebut melibatkan aktiviti jual beli MSM yang dijalankan dalam isu urusan perniagaan biasa kumpulan serta diklasifikasikan sebagai RRPT serta diluluskan pemegang saham.
Berdasarkan rekod Far East, setakat 30 April 2026 nilai sebenar transaksi bersama EPOM dan RPOM masing-masing RM50.18 juta dan RM37.24 juta, sebelum naik kepada RM51.92 juta dan RM37.94 juta.
"Justeru, peningkatan nilai RRPT didorong sepenuhnya oleh faktor operasi dan pertambahan jumlah transaksi sebenar, tanpa melibatkan perubahan terhadap sifat urus niaga," katanya. - DagangNews.com








