KUALA LUMPUR 18 Feb - SMRT Holdings Berhad mencatatkan peningkatan 7.3 peratus dalam keuntungan bersih kepada RM7.1 juta bagi suku kewangan kedua berakhir 31 Disember 2024 (2QFY25), dipacu oleh pendapatan lain yang lebih tinggi.
Menurut makluman penyedia penyelesaian tulen Internet of Things (IoT) itu yang difailkan kepada bursa, hasil suku tahunan turut meningkat 8.8 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM18.2 juta, dengan disokong oleh peningkatan penggunaan.
SMRT berkata, perolehan sesaham asas (EPS) bagi suku itu berjumlah 1.56 sen, meningkat daripada 1.46 sen setahun sebelumnya setelah separuh pertama tahun kewangan (1HFY25), keuntungan bersih meningkat 4.0 peratus y-o-y kepada RM14.15 juta.
Lonjakan tersebut turut dibantu oleh hasil perolehan lain yang lebih tinggi dan ketiadaan kerugian pertukaran asing sekali sahaja, meskipun merosot sedikit sebanyak 1.3 peratus kepada RM34.73 juta, disebabkan oleh perbezaan masa penggunaan.
EPS bagi tahun sehingga kini pula ujarnya, didapati meningkat kepada 3.11 sen daripada 3.02 sen yang kemungkinan dibantu cukai yang lebih rendah. Lembaga pengarahnya namun tidak mencadangkan sebarang dividen untuk suku tersebut.
SMRT, melalui unit operasi utamanya, N’osairis Technology Solutions Sdn Bhd, menyasarkan untuk mengukuhkan kedudukan dalam pasaran utama serta meneroka segmen baharu dengan fokus kepada pertumbuhan melalui penembusan pasaran dan inovasi produk.
"Kami terus melihat pertumbuhan yang stabil, dengan pasaran luar negara kini menyumbang 20 peratus daripada jumlah pendapatan berulang melebihi 50 peratus," kata Pengarah Urusan Kumpulan, Maha Palan melalui satu kenyataan berasingan.
Pada masa sama, jelas beliau, syarikat berkenaan akan terus meningkatkan penggunaan, tapak jejak terurus yang semakin meluas untuk mengukuhkan lagi momentum pertumbuhan.
Saham SMRT ditutup tidak berubah pada RM1.10 pada Isnin, dengan permodalan pasaran sebanyak RM500.77 juta. Bagaimanapun saham penyedia IoT tersebut telah merosot 13.4% tahun setakat ini. - DagangNews.com








