Untung bersih Maxis RM412 juta, meningkat 12.6% bagi 3QFY2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Maxis RM412 juta, meningkat 12.6% bagi 3QFY2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Nov – Maxis Berhad mencatat prestasi kukuh pada suku ketiga 2025 (3QFY2025) dengan pertumbuhan keuntungan yang berterusan, menunjukkan momentum positif dalam operasi dan pengurusan kos syarikat.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Maxis berkata, syarikat meraih keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM412 juta, meningkat 12.6% berbanding tempoh sama tahun lalu. 

 

“EBITDA pula meningkat 5.2% kepada RM1,102 juta, manakala hasil perkhidmatan naik 1.3% kepada RM2,241 juta. Lembaga Pengarah Maxis mengisytiharkan dividen interim sebanyak 4 sen sesaham.

 

 

 

 

 

 

“Prestasi positif ini disumbangkan oleh pertumbuhan dalam segmen pascabayar, pengguna, kediaman dan perusahaan, serta pengurusan kos yang berdisiplin,” kata Maxis.

 

Jumlah pelanggan mudah alih pengguna meningkat 3.2% kepada 9.87 juta dengan pertumbuhan pascabayar sebanyak 7.7% manakala pelanggan prabayar kekal stabil.

 

Syarikat telekomunikasi itu berkata, hasil perkhidmatan kediaman pengguna meningkat 1.6% kepada RM255 juta dengan langganan bertambah 0.8% kepada 788,000, didorong oleh pelan berasaskan nilai dan tawaran gabungan yang menghubungkan ketersambungan mudah alih, gentian, peranti rumah, gaya hidup dan penyelesaian tenaga solar.

 

“Segmen perusahaan pula mencatat pertumbuhan 5.6% kepada RM418 juta, disokong oleh peningkatan hasil tetap dan penyelesaian, termasuk rangkaian pusat data, storan awan dan penyelesaian borong. 

 

“Maxis terus membina saluran tempahan kukuh bagi perniagaan pelbagai saiz, memanfaatkan kepakaran dalam penyampaian penyelesaian hujung ke hujung,” katanya.

 

Sebagai penyedia telekomunikasi bersepadu, Maxis mempercepat transformasi digital perusahaan dengan memasang sambungan gentian di lebih 100,000 premis perniagaan dan menghubungkan 39 pusat data bagi meningkatkan kebolehpercayaan. 

 

Syarikat juga memperkenalkan penyelesaian Rangkaian Selamat Kuantum pertama di Malaysia, menekankan komitmen terhadap ketahanan rangkaian generasi akan datang.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng berkata, tumpuan syarikat terhadap kecemerlangan operasi memacu momentum yang dipercepat, terbukti daripada pertumbuhan EBITDA yang sihat dan pengembangan margin. 

 

 

 

 

 

 

 

“Kami memanfaatkan AI dan automasi untuk kecekapan kos manakala pelaburan kami untuk mengekalkan kepimpinan rangkaian diteruskan dengan perbelanjaan modal sebanyak RM224 juta suku ini. 

 

“Kami mengekalkan jangkaan pertumbuhan tahun ini dengan hasil perkhidmatan meningkat sedikit manakala keuntungan operasi (EBITDA) dijangka meningkat sederhana, disokong oleh pelaburan sekitar RM1 bilion,” katanya. - DagangNews.com