Untung bersih Malayan Flour meningkat kepada RM139 juta pada FY25, umum dasar dividen minimum 30% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Malayan Flour meningkat kepada RM139 juta pada FY25, umum dasar dividen minimum 30%

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 FebMalayan Flour Mills Berhad mencatat lonjakan untung bersih kepada RM139.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 berbanding sebanyak RM58.1 juta pada FY24.


Perkembangan positif tersebut jelas kumpulan berkenaan, didorong prestasi lebih kukuh dalam segmen tepung dan perdagangan bijirin (FGT) di Malaysia dan Vietnam serta segmen integrasi ayam (PI).


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata keuntungan bersih suku keempat (4Q25) meningkat ketara kepada RM43.0 juta, menutup tahun kewangan dengan momentum yang positif.


"Bagi FY25, pendapatan Malayan Flour Mills turut berjaya mengukuh kepada sebanyak RM3.25 bilion berbanding hanya kira-kira RM3.12 bilion dicatatkan tahun sebelumnya," jelas kumpulan berkenaan.


Tambahnya lagi, segmen FGT di pasaran Malaysia dan Vietnam bersama perniagaan makanan akuatik mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM150.3 juta berbanding RM126.7 juta sebelumnya. 


Ia menjadi penyumbang utama kepada prestasi kumpulan, manakala segmen PI yang diterajui usaha sama 51% milik kumpulan, Dindings Tyson Sdn Bhd, merekodkan peningkatan PAT kepada RM27.5 juta.


Lonjakan sembilan kali ganda daripada RM3.1 juta pada FY24 itu, didorong peningkatan jumlah jualan yang sejajar dengan permintaan kukuh terhadap ayam sebagai sumber protein utama di Malaysia.


"Segmen tersebut berjaya menyumbang bahagian keuntungan sebanyak RM14.0 juta kepada kumpulan ini berbanding hanya kira-kira RM1.6 juta pada tahun kewangan sebelum itu," kata Malayan Flour Mills.


Sementara itu, usaha sama 30% milik kumpulan di Indonesia, PT Bungasari Flour Mills, kembali mencatat keuntungan dengan PAT sebanyak RM7.9 juta berbanding kerugian RM30.0 juta tahun sebelumnya.


Dari segi pengembangan kapasiti, kumpulan itu sedang meningkatkan kapasiti pengilangan anak syarikatnya di Vietnam, Vimaflour, daripada kira-kira 2,000 tan metrik sehari kepada 2,500 tan metrik sehari.


Justeru, Lembaga Pengarah Malayan Flour Mills turut menetapkan dasar dividen baharu dengan bayaran sekurang-kurangnya perlu 30% daripada keseluruhan keuntungan bersih tahunan kepada pemegang saham.


"Bagi FY25, ia mengumumkan dividen interim kedua satu peringkat 2.0 sen sesaham berjumlah RM24.8 juta, menjadikan jumlah dividen tahun ini 3.5 sen sesaham atau RM43.4 juta," katanya. - DagangNews.com