KUALA LUMPUR 27 Nov – Mah Sing Group Berhad terus mencatat prestasi kukuh dengan keuntungan bersih meningkat kepada RM198.3 juta bagi tempoh sembilan bulan 2025 (9MFY2025) berbanding RM180.3 juta pada tempoh sama tahun 2024.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Mah Sing berkata, prestasi itu didorong oleh segmen pembangunan hartanah yang kekal menjadi penyumbang utama, dengan hasil keseluruhan meningkat kepada RM1.85 bilion berbanding RM1.78 bilion pada 2024.
“Margin juga bertambah apabila untung kasar meningkat kepada RM520.6 juta daripada RM456.2 juta sebelumnya,” kata syarikat pemaju hartanah tersebut.
Untuk suku ketiga (3QFY2025) sahaja, kumpulan merekodkan pendapatan RM635.9 juta, agak stabil berbanding RM639.3 juta setahun lalu.
“Namun untung sebelum cukai meningkat kepada RM96.2 juta daripada RM84.9 juta yang mencerminkan kawalan kos serta sumbangan projek yang lebih menguntungkan,” katanya.
Kedudukan Tunai Kukuh
Mah Sing mengekalkan kedudukan kewangan yang sihat dengan jumlah aset meningkat kepada RM7.61 bilion setakat 30 September 2025.
Tunai dan pelaburan jangka pendek berjumlah RM1.17 bilion, walaupun kumpulan melabur besar dalam pengambilalihan tanah dan pembangunan baharu.
Kumpulan juga menyelesaikan penebusan Sukuk Murabahah RM600 juta pada Mac 2025 dan menerbitkan dua tranche baharu bernilai RM600 juta secara keseluruhan, masing-masing dengan tempoh matang lima tahun.

Segmen Hartanah Kekal Penyumbang Utama
Segmen pembangunan hartanah terus menjadi pemacu utama prestasi Mah Sing Group Bhd, menyumbang RM1.46 bilion daripada RM1.85 bilion hasil keseluruhan bagi tempoh 9 bulan pertama 2025.
Lonjakan ini mencerminkan permintaan yang berterusan untuk projek kediaman mampu milik, pertengahan, serta projek bercampur (mixed development) di lokasi strategik di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.
Segmen hartanah juga mencatat untung operasi RM319.6 juta, menonjolkan margin yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
Peningkatan margin ini sebahagiannya disebabkan kawalan kos projek yang lebih efisien, serta pengurusan pelancaran projek yang tersusun, membolehkan syarikat mengekalkan aliran tunai positif dan membiayai pelaburan pembangunan baharu.
Mah Sing juga aktif menambah tanah untuk projek masa depan dengan melaksanakan tindakan strategik termasuk perjanjian pembelian tanah 275 ekar di Mulim, Beranang, Selangor dengan nilai RM273.5 juta, serta pembelian 2.83 ekar tanah pegangan pajakan di Bandar George Town, Pulau Pinang.
Selain itu, Mah Sing mengekalkan fokus pada pembangunan kediaman mampu milik dan pertengahan yang kini menjadi tumpuan ramai pembeli rumah pertama.
Mah Sing berkata, strategi ini bukan sahaja menstabilkan aliran hasil, malah menyumbang kepada reputasi syarikat sebagai pembangun hartanah yang menawarkan produk berkualiti dengan harga kompetitif.
"Segmen hartanah Mah Sing juga menerima manfaat daripada projek bercampur dan pembangunan komersial termasuk pusat beli-belah, pejabat dan kondominium.
"Kepelbagaian portfolio ini membantu mengurangkan risiko pasaran dan memastikan pertumbuhan hasil yang konsisten walaupun dalam tempoh pasaran hartanah yang berubah-ubah.
“Dengan jumlah pendapatan belum diraih (unbilled sales) yang sihat dan deretan siri pelancaran baharu di lokasi tumpuan, Mah Sing dijangka mengekalkan momentum prestasi bagi suku-suku seterusnya,” kata syarikat tersebut. - DagangNews.com








