KUALA LUMPUR 26 Feb – Kerjaya Prospek Group Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih kira-kira 40.2% kepada sebanyak RM224.7 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2025 (FY25).
Kumpulan tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, ia melonjak berbanding RM160.3 juta pada tahun sebelumnya, dipacu pertumbuhan kukuh segmen pembinaan dan pembangunan hartanah.
Menurutnya lagi, kumpulan berkenaan turut merekodkan hasil tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM2.2 bilion, meningkat kira-kira 22.5% berbanding hanya RM1.8 bilion pada tahun kewangan 2024.
"Bagi 4QFY25, untung bersih naik 53.4% kepada RM66.7 juta daripada RM43.5 juta pada 4QFY24, manakala hasil meningkat 12.3% kepada RM671.7 juta berbanding RM598.1 juta," kata Kerjaya Prospek.
Segmen pembinaan kekal sebagai penyumbang utama dengan hasil RM1.9 bilion atau 86.4% daripada jumlah keseluruhan hasil kumpulan. Bagi suku keempat sahaja, segmen itu menyumbang RM555.7 juta.
Sementara itu, segmen pembangunan hartanah menunjukkan pertumbuhan ketara apabila hasil melonjak 3.4 kali ganda kepada RM320.8 juta bagi FY25 berbanding RM95.6 juta pada tahun sebelumnya.
Perkembangan tersebut, disokong sumbangan projek The Vue @ Monterez dan Papyrus @ North Kiara. Bagi Q4FY2025, hasil segmen ini lebih dua kali ganda kepada RM115.2 juta daripada RM51.5 juta.
"Lembaga Pengarah Kerjaya Prospek sehubungan itu mengisytiharkan dividen interim keempat satu peringkat iaitu 3.5 sen sesaham, melibatkan pembayaran RM44 juta pada 26 Mac 2026," tambahnya.
Secara keseluruhan jelasnya, jumlah dividen bagi FY25 adalah 12.5 sen sesaham bernilai RM157.2 juta, bersamaan 70% daripada keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI).
Sehubungan itu katanya, berdasarkan harga penutup iaitu RM2.59 sesaham pada dagangan 25 Februari 2026, pembayaran dividen penuh tahun tersebut dijangka memberikan hasil dividen sekitar 4.8%.
Kerjaya Prospek turut mengekalkan kedudukan tunai bersih kukuh RM358.7 juta setakat 31 Disember 2025, yang menyediakan kewangan cukup menyokong pelaksanaan projek sedia ada dan peluang baharu.
"FY25 merupakan satu lagi pencapaian penting kumpulan susulan rekod hasil baharu serta pertumbuhan pendapatan yang mampan," kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutifnya, Tee Eng Tiong.
Bagi prospek FY26 pula, syarikat itu menyasarkan penambahan buku tempahan baharu RM2.0 bilion dan memulakan tahun dengan sudah meraih dua kontrak berjumlah RM703.5 juta. - DagangNews.com








