KUALA LUMPUR 27 Nov – ITMAX System Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 20.5% kepada RM27 juta pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (3QFY2025) disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam segmen penyelesaian infrastruktur digital.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan infrastruktur digital bersepadu berasaskan kecerdasan buatan (AI) itu berkata, ia memperoleh hasil sebanyak RM65.2 juta, meningkat 12.4% berbanding tempoh sama sebelumnya.
“Peningkatan ini dipacu pertumbuhan 68.7% dalam hasil segmen penyelesaian infrastruktur digital. Keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 22.5% kepada RM37 juta manakala PAT meningkat kepada RM27 juta.
“Bagi tempoh sembilan bulan pertama (9MFY2025), hasil kumpulan naik 11% tahun ke tahun kepada RM174.4 juta. PBT dan PAT masing-masing meningkat 20.2% dan 19.4% kepada RM95.3 juta dan RM71.3 juta.
“Segmen penyelesaian infrastruktur digital terus menjadi pemacu utama, melonjak 67.3% kepada RM120.7 juta, bersamaan 69.2% daripada jumlah hasil keseluruhan,” kata ITMAX dalam makluman tersebut.
Sementara itu, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ITMAX, William Tan Wei Lun berkata, prestasi kukuh suku ketiga mencerminkan ketahanan model perniagaan syarikat serta kelebihan pendapatan berulang yang dijana melalui kontrak bandar pintar berasaskan langganan.
“Permintaan terhadap penyelesaian bandar bersepadu terus meningkat, sejajar dengan usaha pendigitalan negara.
“Sewaktu Malaysia mempercepatkan agenda pendigitalannya, kami kekal komited meningkatkan platform berasaskan AI dan memperkenalkan inovasi baharu yang mengukuhkan peranan ITMAX sebagai penyedia utama solusi transformasi bandar pintar negara,” katanya.
ITMAX yang ditubuhkan pada April 2001 terlibat dalam pembekalan, pemasangan dan penyediaan sistem rangkaian ruang awam, termasuk lampu isyarat pengurusan trafik, rangkaian komunikasi dan pengawasan video (kamera litar tertutup) selain menyediakan perkhidmatan pengurusan parkir pintar kepada pihak berkuasa tempatan.
Melalui keupayaan penyelidikan dan pembangunan dalaman, syarikat turut membangunkan ciri kecerdasan buatan yang menyokong pembangunan bandar pintar. - DagangNews.com








