KUALA LUMPUR 25 Feb - IOI Corp Bhd mencatatkan penyusutan untung bersih sebanyak 66.9% kepada RM111.1 juta pada suku kedua berakhir 31 Disember 2024 (2QFY25) berbanding RM335.4 juta kesan daripada kerugian tukaran mata wang asing dan kerugian nilai saksama walaupun mencatatkan prestasi lebih baik dalam perniagaan perladangannya.
Hasil kumpulan bagi suku berkenaan bagaimanapun meningkat kepada RM2.97 bilion berbanding RM2.4 bilion pada 2QFY23.
Kumpulan itu berkata, keuntungan sebelum cukai asasnya sebanyak RM504.3 juta pada suku tersebut adalah 31% lebih tinggi daripada keuntungan sebelum cukai sebanyak RM383.6 juta pada 2QFY24.
Ini disebabkan sumbangan lebih tinggi daripada segmen perladangan dengan sebahagiannya diimbangi sumbangan lebih rendah daripada segmen pembuatan berasaskan sumber.
Dalam tempoh enam bulan hingga 31 Disember 2024 (6MFY25), IOI berkata keuntungan bersih ialah RM821.8 juta, meningkat daripada RM639.4 juta pada 6MFY24, manakala hasil meningkat kepada RM5.64 bilion daripada RM4.6 bilion dalam tempoh yang sama sebelumnya.
Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu mengunjurkan pengeluaran tandan buah segar (BTS) pulih dengan kukuh dalam tempoh tiga bulan akan datang apabila cuaca bertambah baik dan pokok-pokok muncul daripada musim pengeluaran rendah.
"Digabungkan dengan unjuran harga minyak sawit mentah (MSM) yang baik, kami mengekalkan tinjauan positif terhadap prestasi kewangan segmen perladangan untuk baki FY25," kata kumpulan itu.
Dalam subsegmen penapisan dan pemasaran komoditi, kumpulan itu menjangkakan penetapan harga yang kompetitif dari Indonesia akan memberi tekanan pada margin penapisannya, manakala persekitaran operasi dalam subsegmen oleokimia dijangka kekal mencabar.
Subsegmen lemak khusus kumpulan itu, yang diwakili oleh firma bersekutu Bunge Loders Croklaan, dijangka melihat margin produk, terutamanya untuk setara mentega koko, kekal kukuh pada baki FY25.
"Bagaimanapun, potensi tarif Amerika Syarikat (AS) mungkin mengganggu import bahan mentah ke kilang BLC di AS dan menjejaskan margin produk di sana," katanya.
Secara keseluruhannya, kumpulan itu menjangkakan prestasi operasi dan kewangannya bagi baki suku tahun FY25 adalah memuaskan.- DagangNews.com








