Untung bersih Glomac melonjak lima kali ganda kepada RM13.3 juta bagi 4QFY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Glomac melonjak lima kali ganda kepada RM13.3 juta bagi 4QFY26

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 25 JunGlomac Berhad mencatat lonjakan untung bersih hampir lima kali ganda kepada RM13.3 juta bagi suku keempat berakhir 30 April 2026 berbanding RM2.7 juta setahun lalu.

 

Menurut kenyataan kumpulan pemaju hartanah tersebut, perkembangan positif berkenaan didorong oleh faktor kemajuan pembinaan beberapa projek utama serta pengurusan kos yang lebih berhemat.

 

Ujar syarikat tersebut, prestasi lebih kukuh itu turut menyaksikan keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 51% kepada RM20.6 juta daripada RM13.6 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan merekodkan hasil RM79.8 juta disokong bil kemajuan projek rumah berkembar KEYS, rumah kedai Lakeside Residences, Saujana Perdana dan rumah teres Serai di Sungai Buloh Country Resort (SBCR).

 

Bagi tahun kewangan penuh berakhir 30 April 2026 (FY26), Glomac merekodkan hasil RM226.2 juta dengan PBT sebanyak RM32.7 juta dan keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat kepada RM20.2 juta.

 

Segmen pembangunan hartanah kekal sebagai penyumbang utama kepada pendapatan kumpulan, selain turut mendapat manfaat daripada kos pembiayaan dan perbelanjaan cukai yang lebih rendah.

 

"Glomac memasuki FY27 dengan jualan yang belum dibil sebanyak RM546 juta, sekali gus menyediakan keterlihatan pendapatan yang lebih baik untuk tahun kewangan semasa," tambahnya lagi.

 

Dari sudut kedudukan kewangan, kumpulan terus mengekalkan kunci kira-kira yang kukuh dengan pegangan tunai dan setara tunai sebanyak RM215.8 juta, manakala pinjaman bersih kekal pada paras minimum.

 

Selain itu, Glomac mempunyai akses kepada Program Sukuk Wakalah bernilai RM3 bilion yang dijangka menyokong aktiviti pembangunan teras serta peluang pengembangan dan kepelbagaian perniagaan.

 

Bagi FY27, kumpulan merancang pelancaran projek baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM371 juta, melibatkan gabungan pembangunan komersial dan kediaman bertanah.

 

Lembaga pengarah turut mencadangkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 1.38 sen sesaham bagi FY26, tertakluk kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung tahunan akan datang, mewakili pulangan dividen 4.3%. - DagangNews.com