Untung bersih AME Elite melonjak 541% hasil prestasi kukuh segmen hartanah serta jualan tanah strategik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih AME Elite melonjak 541% hasil prestasi kukuh segmen hartanah serta jualan tanah strategik

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Nov – AME Elite Consortium Berhad mencatatkan keuntungan bersih tertinggi bagi suku kedua berakhir 30 September 2025 (2QFY2026)  melonjak 541.4% kepada RM143.8 juta berbanding RM22.4 juta pada suku yang sama tahun lalu. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, AME Elite berkata, pendapatan pada suku ini juga meningkat 140.9% kepada RM451.0 juta daripada RM187.2 juta sebelumnya.

 

“Peningkatan ini disokong oleh jualan tanah bernilai tinggi kepada sebuah pusat data serta pertumbuhan berterusan dalam pembangunan taman industri Kumpulan.

 

“Bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 September 2025, pendapatan meningkat 93.7% kepada RM638.4 juta manakala keuntungan bersih melonjak 374.3% kepada RM176.1 juta,” kata Kumpulan.

 

Susulan prestasi cemerlang ini, AME Elite mengumumkan dividen interim khas pertama sebanyak 2.0 sen sesaham dan dividen interim pertama sebanyak 4.0 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, menjadikan jumlah dividen sebanyak 6.0 sen sesaham. 

 

Tarikh ex-dividen ditetapkan pada 18 Disember 2025 dan pembayaran dijadualkan pada 9 Januari 2026.

 

Kumpulan itu berkata, segmen pembangunan hartanah menjadi pemacu utama keputusan suku ini, dengan pendapatan meningkat 421.4% kepada RM382.9 juta. 

 

“Peningkatan ini turut disokong oleh pengiktirafan jualan tanah di i-TechValley sebanyak RM209.8 juta kepada sebuah pusat data.

 

“Tanpa mengambil kira transaksi tanah yang signifikan, pendapatan teras segmen juga meningkat kepada RM173.0 juta, didorong oleh pengebilan berterusan dari projek i-TechValley dan i-Park @ Senai Airport City,” kata AME Elite.

 

Segmen pelaburan dan pengurusan hartanah mencatat pertumbuhan 10.3% kepada RM20.3 juta, berikutan asas pendapatan berulang yang lebih kukuh, kadar penghunian tinggi di asrama pekerja, dan peningkatan penyewaan unit industri. 

 

Sumbangan ini membantu mengimbangi kelembapan dalam segmen pembinaan dan kejuruteraan yang menyaksikan pendapatan menurun kepada RM35.1 juta dan RM12.4 juta masing-masing, sejajar dengan tahap kerja projek yang berbeza.

 

Kumpulan berkata, landskap hartanah industri kekal kondusif, disokong oleh penyusunan semula rantaian bekalan global dan aliran masuk Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang berterusan. 

 

“Data daripada MIDA menunjukkan peningkatan 13.2% dalam pelaburan yang diluluskan bagi sembilan bulan pertama 2025, menandakan permintaan yang sihat untuk ruang industri.

 

“AME Elite melaksanakan strategi pengembangan untuk menangkap permintaan ini. Usahasama Kumpulan di Pulau Pinang, Northern TechValley @ BKE, mencatat jualan dan tempahan yang memberangsangkan. 

 

“Serentak itu, Kumpulan mensasarkan pelancaran taman industri bersepadu baharu di Ijok, Selangor pada 2026,” katanya.

 

Pembangunan seluas 151.2 ekar ini adalah usaha sama 60:40 dengan KLK Land Sdn Bhd, secara strategik mempelbagaikan portfolio merentasi koridor ekonomi Malaysia.

 

AME Elite, yang ditubuhkan sejak 1995, menyediakan penyelesaian ruang industri bersepadu termasuk pembangunan taman industri, reka bentuk dan pembinaan kilang besar, jualan dan penyewaan unit kilang industri, serta pengurusan asrama pekerja. 

 

Kumpulan mempunyai kepakaran dalaman dalam pembinaan dan kejuruteraan, termasuk mekanikal dan elektrik, struktur keluli, dan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui. - DagangNews.com