Unjuran hasil KJTS bagi FY26-FY27 diturun akibat gagal peroleh Malakoff Utilities, kata Malacca Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unjuran hasil KJTS bagi FY26-FY27 diturun akibat gagal peroleh Malakoff Utilities, kata Malacca Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 Feb – Kegagalan pemerolehan Malakoff Utilities Services Berhad (MUSB) oleh KJTS Group Berhad mendorong Malacca Securities menyemak turun unjuran pendapatan kumpulan itu.


Menurut firma penyelidikan tersebut, mereka mengurangkan ramalan hasil bagi tahun kewangan akan datang meliputi FY26 hingga FY27, walaupun kesan kewangan jangka pendek dijangka masih terhad.


Ia susulan makluman KJTS mengenai perjanjian jual beli saham (SPA) bertarikh 3 Februari 2025 luput setelah tamat tarikh akhir lanjutan pada 3 Februari 2026, selain notis rasmi daripada pihak MUSB.


"KJTS namun akan menerima pemulangan penuh deposit berjumlah RM44.4 juta dalam tempoh lima hari bekerja, dan kedua-dua pihak tidak membuat sebarang tuntutan lanjut," kata Malacca Securities.


Bagaimanapun tambah firma itu, kegagalan tersebut tidak dijangka memberi kesan material ke atas pendapatan sesaham (EPS) dan aset bersih sesaham (NAPS) kumpulan rumusan tenaga berkenaan.


Sebaliknya jelas firma penyelidikan itu, penggunaan semula dana RM44.4 juta tersebut masih belum dimuktamadkan dan tertakluk kepada pengumuman lanjut serta kelulusan pemegang saham jika perlu.


Artikel berkaitan: KJTS umum pengambilalihan Malakoff Utilities terbatal selepas gagal penuhi dua syarat


Malacca Securities berkata, sebelum ini pertumbuhan pendapatan KJTS bergantung kepada sumbangan pemerolehan MUSB, termasuk perjanjian bekalan elektrik eksklusif dan loji penyejukan di KL Sentral.


"Ia diunjurkan mampu menjana sekurang-kurangnya RM10 juta keuntungan selepas cukai setahun selepas naik taraf, selain membuka akses luas kepada pasaran sektor awam bernilai RM5 billion," tambahnya.


Sehubungan itu, ia menyemak turun unjuran pendapatan FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 34.6% dan 22.9% kepada julat RM20 juta hingga RM27.8 juta, bagi mencerminkan ketiadaan sumbangan MUSB.


Namun Malacca Securities berpandangan kerjasama strategik KJTS dengan CCYRM berpotensi menjadi penampan kepada prestasi hasilnya, meskipun skala dan impak kewangan masih belum lagi diperincikan.


Dari sudut penilaian pula, firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham KJTS, tetapi menurunkan harga sasaran (TP) sesaham kepada 87 sen berbanding RM2.00 sebelum ini.


"Penyusutan unjuran TP tersebut berdasarkan kepada jangkaa 30 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) ke atas EPS kumpulan berkenaan bagi FY26 sebanyak 2.91 sen," katanya. - DagangNews.com