Unique Fire catat peningkatan untung bersih 4.03% kepada RM3.51 juta pada 2QFY2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unique Fire catat peningkatan untung bersih 4.03% kepada RM3.51 juta pada 2QFY2026

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Nov – Unique Fire Holdings Berhad mencatat pertumbuhan sederhana pada suku kedua tahun kewangan berakhir 30 September 2026 (2QFYE2026), dengan peningkatan hasil dan keuntungan didorong permintaan berterusan terhadap produk perlindungan kebakaran.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Unique Fire berkata, ia mencatat hasil operasi sebanyak RM30.78 juta pada 2QFY2026, meningkat 5.75% berbanding RM29.11 juta pada suku sama tahun sebelumnya. 

 

"Keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 2.69% kepada RM4.61 juta berbanding RM4.49 juta pada 2QFY2025, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) naik 4.03% kepada RM3.51 juta berbanding RM3.37 juta sebelum ini.

 

"Segmen pemasangan mencatat peningkatan 7.6% dengan hasil RM15.32 juta berbanding RM14.24 juta tahun lalu, manakala segmen pengedaran meningkat 9% kepada RM8.00 juta daripada RM7.34 juta. 

 

"Segmen pembuatan pula mencatat sedikit penurunan kepada RM6.89 juta berbanding RM6.90 juta pada tempoh sama tahun lalu," katanya.

 

Pengarah Urusan Unique Fire, Liew Sen Hoi berkata, prestasi stabil itu mencerminkan ketahanan perniagaan syarikat, didorong permintaan kukuh terhadap produk keselamatan kebakaran di tengah-tengah perkembangan positif sektor pembinaan negara.

 

Beliau berkata sektor pembinaan terus disokong pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar dan pemulihan pelaburan swasta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.

 

“Pembangunan kediaman bertingkat tinggi dan projek bercampur di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang juga menunjukkan momentum yang lebih kukuh, sekali gus menyokong permintaan terhadap sistem perlindungan kebakaran kami,” katanya.

 

Dengan kapasiti pengilangan tambahan kini beroperasi sepenuhnya, Unique Fire yakin dapat memenuhi permintaan pasaran yang meningkat. 

 

Beliau berkata, syarikat turut memperluas portfolio produk melalui usaha sama dengan Z10 Pte Ltd dan E&E Electrical Solutions Sdn Bhd untuk menawarkan penyelesaian lampu kecemasan dan papan tanda keselamatan.

 

“Disokong strategi ini serta persekitaran makroekonomi yang positif, kami optimis terhadap prospek pertumbuhan yang mampan pada suku-suku mendatang,” katanya.

 

Unique Fire, ditubuhkan pada 1997 terlibat dalam pemasangan, pembuatan dan pengedaran pelbagai sistem dan peralatan perlindungan kebakaran, termasuk alat pemadam api, sistem pemadaman kebakaran, gegelung hos dan sistem penggera. 

 

Syarikat juga menghasilkan alat pemadam api dengan rekaan grafik terkini. - DagangNews.com