UEM Edgenta perkukuh armada dengan tiga mesin paver baharu, termasuk Dash 5 pertama di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UEM Edgenta perkukuh armada dengan tiga mesin paver baharu, termasuk Dash 5 pertama di Malaysia

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 18 NovUEM Edgenta Berhad terus memperkukuh kapasiti operasinya menerusi perolehan tiga mesin paver baharu termasuk paver VÖGELE Dash 5, model generasi terkini dan yang pertama seumpamanya di Malaysia.

 

Menurut kenyataan syarikat hari ini, perolehan yang merangkumi satu mesin penurap VÖGELE Dash 5 dan dua mesin VÖGELE Dash 3 itu menandakan komitmen UEM Edgenta untuk meningkatkan mekanisasi, produktiviti serta standard kejuruteraan dalam sektor pembinaan infrastruktur negara.

 

Perolehan ini juga menjadi langkah kukuh dalam agenda pemodenan armada syarikat bagi memenuhi peningkatan permintaan projek lebuh raya, jalan raya dan infrastruktur awam. 

 

 

 

 

 

 

 

 

Mesin Dash 5 dilengkapi teknologi ergonomik dipertingkat, automasi lebih pintar dan kemampuan penurapan lebih stabil di kawasan bertopografi mencabar, sekali gus mengatasi kekangan prestasi armada lama.

 

Menurut kenyataan itu, keupayaan baharu ini akan membolehkan pasukan operasi melaksanakan kerja penurapan dengan ketepatan, konsistensi dan kecekapan lebih tinggi, serta menyokong aspirasi syarikat untuk naik ke rantaian nilai lebih tinggi dalam sektor pembinaan infrastruktur.

 

Ketua Perkhidmatan Infrastruktur UEM Edgenta, Raihana Ahmad berkata, perolehan Dash 5 merupakan detik penting dalam strategi jangka panjang syarikat.

 

“Hari ini merupakan detik bermakna apabila kami menerima mesin penurap Dash 5, yang pertama di Malaysia dan ini mencerminkan komitmen kami terhadap penambahbaikan berterusan,” katanya.

 

Menurut beliau, pelaburan ini berteraskan dua keutamaan iaitu meningkatkan tahap kecekapan dan kebolehharaan perkhidmatan serta melengkapkan tenaga kerja dengan peralatan produktif dan tahan lama.

 

“Dash 5 sejajar dengan hala tuju kami untuk menerajui pembinaan jalan melalui mekanisasi maju dan penyelesaian inovatif, memastikan rangkaian jalan Malaysia kekal antara yang terbaik di rantau ini,” katanya lagi.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Shaiful Subhan berkata, perolehan tersebut mengukuhkan peranan syarikat sebagai peneraju penyelesaian infrastruktur negara.

 

“Pengenalan mesin penurap Dash 5 membuktikan komitmen berterusan kami untuk memoden dan memperkukuh peranan dalam sektor ini. Fokus kami adalah pada integrasi teknologi yang benar-benar meningkatkan kecekapan, mengoptimumkan sumber dan menyokong kelestarian,” katanya.

 

Menurut beliau, setiap pelaburan dalam mekanisasi menyumbang secara langsung kepada perjalanan lebih selamat dan lancar di seluruh negara.

 

“Setiap kilometer jalan yang kami bina atau turap semula memberi impak kepada jutaan pengguna. Pelaburan sebegini memperkukuh kesalinghubungan negara dan menambah nilai kepada pemegang taruh,” ujarnya.

 

 

 

 

 

 

Dalam tempoh lebih dua dekad, UEM Edgenta telah konsisten melabur dalam pemodenan armada dan peralatan mekanikal bagi mengukuhkan kecemerlangan operasi.

 

Usaha berterusan ini, menurut syarikat, akan terus menjadi teras kepada strategi pertumbuhan yang berasaskan inovasi, keselamatan dan kelestarian. - DagangNews.com