KUALA LUMPUR 28 April - Türkiye menghantar kapal korvet antikapal selam termoden, TGC Buyukada pada Pameran Udara dan Maritim Langkawi 2025 (LIMA) yang menjadi sebahagian daripada delegasi pertahanan negara itu.
TGC Buyukada, kapal kelas ADA bakal menyertai lebih 30 kapal perang lain termasuk milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berlabuh di perairan Langkawi sepanjang LIMA nanti.
Kementerian Pertahanan Türkiye menerusi laman Facebook memaklumkan, korvet TGC Buyukada kini dalam pelayaran ke Langkawi setelah berlepas dari Pangkalan Laut Foça pada 19 April lalu.
Menurut kenyataan itu, penyertaan kapal perang ini juga bagi mengeratkan hubungan baik antara Türkiye dan Malaysia khususnya dalam kerjasama di bidang pertahanan.

“Selain memeriahkan acara LIMA 2025, pelayaran ini mempunyai misi lain yang penting untuk Turkiye.
“Penyertaan pada LIMA 2025 adalah untuk mengukuhkan hubungan dengan engara serantau,
“Selain itu, pelayaran ini mengangkat Turkiye dan angkatan lautnya di persada antara bangsa serta mempromosikan industri pertahanan,” kata kenyataan tersebut.
Semasa pelayaran itu nanti TGC Buyukada akan singgah di beberapa pelabuhan negara sahabat di Indo Pasifik.


Apa yang pasti, kehadiran kapal kelas ADA ini mempunyai signifikan tersendiri memandangkan TLDM memilih rekaan korvet ini bagi kapal misi pesisir (LMS) Batch 2.
Berkemungkinan kapal ini akan dibuka untuk lawatan pada LIMA 2025, ini membolehkan pengunjung untuk melihat secara lebih dekat kapal yang bakal menjadi aset TLDM.
TGC Buyukada seberat 2,300 tan dilengkapi dengan sistem persenjataan seperti perlu berpandu antikapal Harpoon, peluru berpandu pertahanan udara dan torpedo.
Kapal dilengkapi dengan meriam utama jenis OTO Melara 76mm dan meriam kaliber 30mm selain kemudahan geladak helikopter dan mengendalikan pesawat dron.


Ini merupakan kunjungan kedua korvet kelas ADA ke Malaysia selepas kali pertama pada Mei tahun lalu.
Ketika itu kapal TCG Kinaliada singgah di Pelabuhan Klang, Selangor sebelum berlayar ke Jepun.
Sepertimana segmen aeroangkasa, segmen maritim pada LIMA 2025 turut mempunyai tarikan tersendiri apabila mempamerkan kapal-kapal perang selain dibuka untuk lawatan.
Peluang untuk melawat kapal-kapal perang termasuk milik tentera asing bakal memberi pengalaman tersendiri kepada pengunjung. - DagangNews.com








