KUALA LUMPUR 1 Dis – Tuju Setia Berhad memperkukuh buku pesanannya dengan perolehan kontrak bernilai RM420.0 juta bagi satu lagi projek bertingkat daripada pelanggan sedia ada, Sunway Berhad, sekali gus menyediakan keterlihatan pendapatan kumpulan sehingga 2029.
Dalam kenyataan hari ini, kumpulan tersebut memaklumkan kontrak itu dianugerahkan oleh Sunway Cochrane Sdn Bhd, anak syarikat Sunway, yang melantik kumpulan itu sebagai kontraktor utama bagi projek Sunway Cochrane Kuala Lumpur.
Di bawah kontrak berkenaan, Tuju Setia akan membina dua menara pangsapuri servis yang disokong kemudahan podium merangkumi ruang runcit, dek fasiliti, tempat letak kereta tujuh tingkat serta jambatan penghubung terus ke stesen MRT Cochrane.
Projek itu dijadual bermula pada 1 Mac 2026 dan dijangka siap dalam tempoh 40 bulan.
Pengarah Urusan Tuju Setia Berhad, Wee Eng Kong berkata penganugerahan kontrak bernilai tinggi itu mencerminkan keyakinan berterusan pelanggan terhadap keupayaan syarikat.
“Dianugerahkan satu lagi projek oleh pelanggan bereputasi seperti Sunway mencerminkan keyakinan terhadap Tuju Setia dan menjadi bukti tumpuan konsisten kami terhadap penyampaian projek tepat pada masa dan berkualiti.
Syarikat menghargai kepercayaan ini dan ia terus mendorong syarikat mengekalkan standard kecemerlangan. Syarikat akan terus mengutamakan kepuasan pelanggan dan penyampaian nilai bagi mengukuhkan reputasi sebagai kontraktor pilihan,” katanya.
Menurut beliau, menjelang penghujung 2025, kontrak terbaharu ini dijangka mengukuhkan pengisian semula buku pesanan kumpulan, selepas Tuju Setia berjaya menyiapkan enam projek sepanjang 2024 dan 2025, semuanya merekodkan skor QLASSIC melebihi 80%.
“Dengan saluran projek yang baik serta peluang tender yang sedang berjalan, syarikat menilai FY2026 sebagai tahun yang penting untuk Tuju Setia,” katanya.
Sunway Cochrane Kuala Lumpur merupakan pembangunan berorientasikan transit seluas 5.40 ekar di kawasan Jalan Cochrane, Kuala Lumpur, merangkumi dua menara pangsapuri servis pegangan bebas iaitu Blok A setinggi 54 tingkat dan Blok B setinggi 55 tingkat.
Sepanjang 2025, kumpulan itu turut menyiapkan beberapa projek utama termasuk The Pulse Residence (Puchong) dan One Equine Fasa 1 (Seri Kembangan), dengan kedua-duanya mencapai skor QLASSIC 83.0%, sekali gus mencerminkan konsistensi piawaian kualiti pembinaan Tuju Setia. - DagangNews.com








