KUALA LUMPUR 20 Jan - Tahun 2026 bakal menyaksikan satu langkah besar dalam memodenkan keupayaan pertahanan udara negara apabila TUDM dijadual menerima beberapa aset strategik yang dapat memperkukuh kemampuan operasinya.
Aset-aset baru ini bukan sahaja akan meningkatkan daya tindak TUDM, tetapi juga memperkenalkan perubahan menyeluruh dalam struktur organisasi, sistem penyelenggaraan serta doktrin operasi.
Ini demi memastikan TUDM kekal sebagai kuasa udara yang tangkas, efektif dan kredibel.
Tiga dron Medium Altitude Long Endurance (MALE-UAS) ANKA-S bakal diterima bulan ini diikuti radar pertahanan udara di Bintulu, Sarawak pada Julai dan dua pesawat tempur ringan F/A-50M pada Oktober.

Perolehan ini adalah hasil usaha yang dimulakan kira-kira 3 tahun lalu, namun ia merangkumi perancangan yang lebih panjang, sekitar 6 tahun ke belakang.
ANKA-S digunakan untuk tujuan pengawasan dan pemantauan udara secara berterusan, memberikan TUDM kemampuan pengawasan yang lebih luas dan efisien.
Radar pertahanan udara di Bintulu pula akan meningkatkan keupayaan TUDM dalam mengesan ancaman udara dari jarak jauh,
Penerimaan pesawat LCA FA-50M dengan kemampuan tempur canggih pula memperkasakan komponen pertahanan udara negara melalui keupayaan serangan dan pertahanan yang lebih efektif.
LCA FA-50M yang berjumlah 18 buah kesemuanya bakal mengisi lompang pertahanan ruang udara bagi mengimbangi pesawat-pesawat tempur sedia ada.


Dipercayai kerajaan akan membuat pembelian fasa kedua FA-50M setelah menilai keberkesanan operasinya.
Perolehan aset baharu ini bukan hanya sekadar menambah platform, tetapi juga melibatkan perubahan besar dalam aspek struktur organisasi dan kompetensi sumber manusia.
Misalnya, ini kali pertama TUDM beralih kepada penggunaan dron jarak sederhana yang keupayaan operasinya menyamai pesawat tempur sebenar.
Dron seperti ANKA-S bukan sebuah pesawat kawalan jauh tanpa pemandu biasa tetapi dron tempur berteknologi tinggi yang dibangunkan mengikut kesesuaian operasi masa kini dan masa hadapan.
Justeru, TUDM perlu menyusun semula sistem operasi bagi memastikan integrasi yang lancar antara manusia, mesin, dan kaedah kerja yang digunakan.

Aspek penstrukturan semula organisasi dan peningkatan infrastruktur akan memainkan peranan penting dalam memastikan aset-aset ini dapat beroperasi dengan efektif.
Selain itu, perubahan doktrin dan prosedur operasi juga akan menjadi tumpuan.
Perolehan aset baharu ini memerlukan TUDM untuk mengemaskini dan memperkemaskan doktrin yang sedia ada agar lebih selaras dengan teknologi dan keupayaan baharu yang diterima.
Salah satu aspek utama dalam fasa pemodenan ini adalah penekanan kepada pemikiran operasi (operational mindset).
TUDM perlu memastikan bahawa setiap pegawai dan anggota memahami serta mengaplikasikan pemikiran operasi merangkumi perancangan, pelaksanaan dan penilaian yang berorientasikan kecekapan, keselamatan dan keupayaan berterusan.


Ini untuk memastikan bahawa aset baharu yang diterima dapat dioperasikan secara optimum.
Dengan pemikiran ini, TUDM akan dapat mencapai tahap kesiapsiagaan yang tinggi dalam pelaksanaan misi, terutamanya dalam situasi-situasi kecemasan atau ancaman yang memerlukan tindak balas cepat dan efektif.
Begitu juga aspek penyelenggaraan aset yang merupakan satu lagi elemen sangat penting dalam memastikan kelangsungan operasional TUDM.
Meskipun aset baharu memberikan kemampuan tempur yang canggih, tanpa penyelenggaraan yang berkualiti dan berterusan, kesiapsiagaan aset tersebut akan terjejas.
Oleh itu, TUDM akan memberi perhatian serius terhadap sistem penyelenggaraan untuk memastikan setiap aset berfungsi dengan baik sepanjang hayat perkhidmatannya.

Dengan adanya perancangan penyelenggaraan yang strategik, TUDM dapat mengurangkan kemungkinan gangguan operasi yang disebabkan oleh kerosakan atau masalah teknikal.
Aspirasi TUDM untuk menjadi kuasa udara yang tangkas, efektif dan kredibel bergantung sepenuhnya kepada disiplin dan budaya kerja yang positif dalam kalangan anggotanya.
Kejayaan perolehan aset baharu akan terletak pada bagaimana warga TUDM menyerap dan menyesuaikan diri dengan teknologi serta proses-proses baru yang diterapkan.
Dengan adanya perolehan aset strategik ini, TUDM dijangka akan memainkan peranan yang lebih dominan dalam strategi cegah rintang bersepadu negara.
Keupayaan untuk bertindak dengan cepat dan berkesan dalam menghadapi pelbagai ancaman udara dan ruang udara negara akan lebih terjamin.
Dengan peningkatan daya tindak udara, TUDM bukan sahaja memperkuatkan keupayaan pertahanan negara tetapi juga menyokong hubungan diplomatik dan kerjasama serantau dalam aspek keselamatan ruang angkasa. - DagangNews.com








