Trip.Biz, Malaysia Airlines jalin kerjasama strategik perluas pasaran PKS di 25 negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Trip.Biz, Malaysia Airlines jalin kerjasama strategik perluas pasaran PKS di 25 negara

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 19 NovTrip.Biz dan Malaysia Airlines, unit perjalanan korporat di bawah Trip.com Group, memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bagi memperkukuh penyelesaian perjalanan perniagaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Asia, Eropah serta pasaran global lain.

 

Kerjasama jangka panjang itu bakal membolehkan pelanggan Trip.Biz mengakses program MHcorporate Malaysia Airlines secara langsung melalui platform tempahan global Trip.Biz, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat penerbangan negara sebagai rakan penerbangan pilihan di peringkat antarabangsa.

 

Trip.Biz dalam kenyataan hari ini berkata, di bawah MoU berkenaan Malaysia Airlines bercadang menyediakan akses kepada tambang PKS MHcorporate merentasi 25 pasaran dan lokasi IATA, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

 

Kedua-dua pihak turut menyasarkan untuk menampilkan Malaysia Airlines sebagai rakan penerbangan pilihan di platform Trip.Biz, sekali gus membuka peluang memanfaatkan jangkauan kepada pelanggan PKS di seluruh dunia.

 

Menurut Trip.Biz, syarikat itu juga berpotensi menyokong program MHcorporate melalui usaha mempromosikan pendaftaran pelanggan serta menilai kebolehlaksanaan integrasi API antara portal MHcorporate dan alat tempahan dalam talian (OBT) Trip.Biz, bagi meningkatkan akses serta kecekapan untuk pengembara perniagaan.

 

Ketua Pegawai Komersial Airlines Malaysia Aviation Group (MAG), Dersenish Aresandiran berkata, MoU itu mencerminkan komitmen syarikat untuk mempermudah perjalanan korporat sambil membuka peluang baharu kepada PKS.

 

“Kerjasama ini membolehkan kami memperluas capaian merentasi 25 pasaran, menawarkan pengalaman diperibadikan serta memacu inisiatif yang memberi nilai kepada pelanggan,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Trip.Biz, Dr. Tao Song berkata, Malaysia Airlines merupakan rakan yang ideal kerana rangkaian serantau yang kukuh dan reputasinya dalam menawarkan layanan Malaysian Hospitality.

 

“Kami berkongsi matlamat untuk menyediakan penyelesaian perjalanan perniagaan yang lebih pintar, cekap dan kos efektif kepada PKS yang ingin berkembang di peringkat antarabangsa,” katanya.

 

Melalui gabungan rangkaian global dan keunggulan perkhidmatan Malaysia Airlines dengan inovasi digital serta kepakaran pengurusan perjalanan Trip.Biz, kedua-dua pihak menyasarkan pembentukan ekosistem perjalanan lebih bersambung dan berorientasikan pelanggan yang menyokong pertumbuhan perniagaan pelbagai saiz.

 

Program MHcorporate SME Malaysia Airlines menyediakan manfaat perjalanan setaraf korporat kepada PKS tanpa keperluan perbelanjaan minimum, termasuk diskaun eksklusif, pilihan tambang fleksibel serta pengurusan akaun dipermudah.

 

Trip.Biz pula menawarkan penyelesaian perjalanan berasaskan digital yang menyokong keperluan perjalanan perniagaan tradisional dan trend baharu seperti bleisure, dengan keupayaan ramalan serta ekosistem lebih luas melalui rakan strategik di bawah Trip.com Group, menjadikan platform itu rakan perjalanan korporat komprehensif yang lebih selamat, mampan dan efisien. - DagangNews.com