KUALA LUMPUR 11 Dis - Pembekal rumusan kuasa dan peralatan, TP TEC Holding Bhd membuat penampilan sulung di Pasaran LEAP Bursa Malaysia dengan premium 30% berbanding tawaran awam permulaan (IPO).
Saham syarikat itu dibuka pada 13 sen lebih tinggi berbanding harga tawarannya 10 sen sesaham.
Penyenaraian itu merupakan pencapaian penting dalam strategi pengembangan syarikat, membolehkannya memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat terhadap rumsan tenaga berikutan aliran pelaburan ke dalam sambungan 5G, pusat data, dan infrastruktur berskala besar di Malaysia.
Ia juga dijangka menukuhkan kedudukan kumpulan dalam pasaran operasinya, meningkatkan profil korporat serta menyumbang kepada usaha untuk memperluaskan pangkalan pelanggan selain memberi peluang mengakses pasaran modal, sekali gus memperkasakan keupayaannya dalam meneroka peluang pertumbuhan baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif TP TEC Holding, Eric Chew berkata, rumusan tenaga khusus mereka memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan sambungan dan infrastruktur, terutamanya di kawasan terpencil, luar bandar dan lokasi luar grid.
"Dengan pelaksanaan pantas 5G dan projek Jalinan Digital Negara (Jendela), peningkatan pelaburan ke dalam pusat data di seluruh negara, serta pembangunan berterusan projek infrastruktur utama, kami bersedia memenuhi permintaan terhadap rumusan tenaga yang cekap," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Berdasarkan harga rujukan penyenaraian sebanyak 10 sen, kumpulan itu kini mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM25 juta.
Penyenaraian itu dilakukan melalui cara pengenalan, tanpa penerbitan saham baharu atau pengumpulan dana tambahan.
Bagaimanapun, sebelum penyenaraian, kumpulan itu berjaya mengumpul RM2.5 juta menerusi langganan saham secara peribadi pada Ogos 2024.
Sejumlah 60% hasil daripada langkah ini akan digunakan untuk memperluaskan armada penjana tenaga syarikat, manakala baki 40% akan digunakan untuk menampung kos penyenaraian.- DagangNews.com