ToYm lancar 3 pertandingan kreatif tawar hadiah berjumlah RM495,000 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ToYm lancar 3 pertandingan kreatif tawar hadiah berjumlah RM495,000

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 Mac - Thousands Of Years Media Sdn Bhd (ToYm) melancarkan tiga pertandingan menarik bagi menyediakan platform kepada penggiat seni dan penghibur tempatan yang bercita-cita tinggi untuk mempamerkan segala bakat terpendam mereka.
 

Syarikat tersebut berkata, ia meliputi Pertandingan Penulisan Skrip, Pertandingan Bintang Idol ToYm dan Pertandingan Microseries Terbaik ToYm dalam usaha bagi mencetuskan serta meraikan kepelbagaian kreativiti rakyat negara ini khasnya generasi muda.
 

"Ketiga-tiga pertandingan itu menawarkan hadiah berjumlah RM495,000 sebagai platform acara yang mengumpulkan pesta kreativiti bertujuan memacu pertumbuhan industri budaya dan kreatif, dalam membantu peserta mengejar impian artistik mereka," kata ToYm dalam satu kenyataan.
 

Menerusi Pertandingan Penulisan Skrip, penganjur mencari skrip asli 30 episod mengenai apa-apa tema dalam tempoh tayangan selama dua minit setiap satu dengan pemenang pertama bakal menerima hadiah wang tunai RM30,000 manakala RM5,000 untuk sagu hati.
 

Penyertaan diterima sehingga 4 Mei 2025, diikuti dengan pengumuman peserta pusingan akhir pada 23 Mei 2025 dan majlis penyampaian hadiah pula akan diadakan pada 15 Jun 2025.
 

Sementara itu Pertandingan Bintang Idola ToYm Shining Star menawarkan hadiah keseluruhan yang berjumlah RM220,000 dengan penyertaan terbuka kepada mereka berusia antara 18 hingga 30 tahun untuk mempamerkan bakat dalam persembahan pentas.
 

Peserta katanya, perlu mendaftar dalam talian sebelum 8 April 2025 untuk sesi uji bakat pada 12 dan 13 April 2025 manakala yang lulus akan menjalani latihan secara berkumpulan lelaki dan wanita dari 19 hingga 24 April 2025.
 

"Pusingan akhir dijangka pada Mei 2025 manakala pemenang berpeluang meraih hadiah wang tunai, kontrak bakat dan trofi edisi terhad," kata ToYm dalam kenyataan tersebut.
 

Selain itu, Pertandingan Drama Mikro Terbaik ToYm menawarkan hadiah wang tunai RM100,000 dan RM50,000 sebagai tambahan kepada lima hadiah RM10,000 untuk tujuh drama mikro 10 episod pelbagai tema yang berdurasi antara satu hingga dua minit setiap satu.
 

Penyertaan perlu dihantar mulai 28 Mac hingga 15 Mei 2025 dengan keputusan tujuh yang terbaik akan diketahui pada 30 Mei ini sebelum majlis anugerah pada 15 Jun 2025.
 

Sepanjang tempoh ketiga-tiga pertandingan tersebut, ToYm menjangka mampu mendapat perhatian dan penyertaan luas daripada pelbagai pihak, malah pihaknya komited untuk menjadi mercu tanda kepada budaya kreatif global.
 

Orang ramai yang berminat boleh melayari www.facebook.com/ThousandsOfYearsMedia dan Instagram di www.instagram.com/thousandsofyearsmedia atau hantar emel ke [email protected] untuk maklumat lanjut. - DagangNews.com