KUALA LUMPUR 17 Mac — Tourism Selangor mengunjurkan peningkatan kemasukan pelancong dari China sebanyak 25 peratus sepanjang tahun ini, seiring dengan kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) yang semakin mendapat perhatian pelawat negara itu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chua Yee Ling berkata, perkembangan positif itu susulan pelancaran rasmi video promosi TMS2025 bagi pasaran China baru-baru ini yang menandakan pencapaian penting usaha mempromosikan Selangor di peringkat antarabangsa.
Inisiatif tersebut dianjurkan oleh Tourism Malaysia yang berlangsung semasa Misi Jualan ke China serta diadakan dari 8 hingga 18 Mac 2025, yang merangkumi sebanyak empat bandar utama iaitu Kunming, Chengdu, Qingdao dan Zhengzhou.
"Inisiatif ini bertujuan untuk mengukuhkan identiti Selangor di China dengan menonjolkan kepelbagaian warisan budaya yang kaya, keindahan alam semula jadi dan pengalaman pelancongan negeri tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
China tambah beliau, kekal sebagai pasaran utama bagi Selangor, dengan seramai 352,001 pelancong dari China direkodkan pada tahun 2023 manakala sejumlah 384,811 pelancong dari negara itu dicatatkan pada 2024 sehingga September.
Antara destinasi paling popular dalam kalangan pelancong China di Selangor ialah daerah Petaling dan Hulu Langat, yang terkenal dengan tarikan bandar yang meriah, pusat beli-belah, percutian berasaskan alam semula jadi dan pengalaman unik budaya.
Video promosi TMS2025 kata Yee Ling, mengetengahkan keindahan bandar-bandar moden, pantai yang mendamaikan, destinasi ekopelancongan yang mencabar serta kepelbagaian kulinari yang terdapat di seluruh Selangor.
"Pelancong dari China juga boleh menonton video promosi TMS2025 dalam bahasa Cina menerusi platform media sosial popular seperti Weibo, Xiaohongshu dan Facebook," kata beliau.
China sentiasa menjadi fokus utama bagi industri pelancongan Selangor dan beliau menjangkakan peningkatan kemasukan pelancong malah Tourism Selangor amat teruja untuk memperkenalkan keunikan Tahun Melawat Selangor 2025 kepada pasaran negara itu.
Sepanjang misi itu kata Yee Ling, Tourism Selangor telah bekerjasama dengan lebih 200 pembeli di setiap bandar, bersama 60 penjual dari Malaysia, melalui mesyuarat perniagaan (B2B), perbincangan kerajaan-ke-kerajaan (G2G), kolaborasi media dan sesi rangkaian.
Bagi memperkukuhkan lagi hubungan dengan pemain industri pelancongan China, beberapa lawatan suai kenal (FAM Trip) akan dianjurkan sepanjang 2025, bagi membolehkan ejen pelancongan merasai sendiri pengalaman unik di Selangor bagi membangunkan pakej pelancongan eksklusif.
"Sektor pelancongan dapat menghubungkan budaya, mengukuhkan ekonomi dan mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Menerusi Misi Jualan ke China, kami telah memperkukuh komitmen untuk menjadikan Selangor destinasi pilihan utama bagi pelancong China," katanya.
Dengan kempen pemasaran bersama, promosi digital dan tawaran pelancongan yang eksklusif, Selangor jelasnya bersedia untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan utama serta menjadi pembuka tirai kepada Tahun Melawat Malaysia 2026. - DagangNews.com








