TM dijangka catat peningkatan sederhana bagi suku ketiga 2025, kata CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TM dijangka catat peningkatan sederhana bagi suku ketiga 2025, kata CIMB Securities

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Nov – Telekom Malaysia Bhd (TM) dijangka mencatat peningkatan sederhana dalam keputusan kewangan suku ketiga (Q3) 2025, dengan keuntungan bersih dijangka berada dalam lingkungan RM435 juta hingga RM455 juta, meningkat antara dua hingga tujuh peratus berbanding tahun sebelumnya, kata CIMB Securities Sdn Bhd.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penambahbaikan ini disokong oleh normalisasi kadar cukai efektif TM kepada 24% walaupun terdapat perubahan dalam pengiktirafan kos capaian 5G sejak suku pertama 2025.

 

“Secara suku ke suku, keuntungan bersih TM dijangka meningkat empat hingga sembilan peratus, disokong oleh pendapatan yang lebih kukuh dan pelarasan cukai.

 

“Dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025, keuntungan bersih berpotensi meningkat satu hingga dua peratus tahun ke tahun, menjadikan ia mencapai 75 hingga 76 peratus daripada ramalan penuh tahun kewangan 2025, selaras dengan jangkaan pasaran,” kata CIMB Securities dalam nota kajiannya.

 

Pendapatan TM Global dijangka meningkat sedikit berbanding tahun sebelumnya dan stabil berbanding suku sebelumnya, terutamanya dengan pemulihan dalam perjanjian berkaitan jalur lebar yang ditangguhkan pada suku kedua 2025 serta sumbangan awal daripada kontrak 5G backhaul 10 tahun bernilai RM2.4 bilion bersama U Mobile. 

 

Setakat hujung Oktober, sebanyak 2,976 tapak 5G telah dilaksanakan, merangkumi liputan 58.2 peratus sejak U Mobile memulakan operasi pada pertengahan Julai.

 

Bagi perkhidmatan Unifi fiber broadband, jumlah pelanggan baharu dijangka meningkat selepas dua suku yang lemah, disokong oleh kempen Unifi Device Fiesta dan perkhidmatan penstriman Unifi TV 2.0 yang diperbaharui.

 

CIMB Securities berkata, purata pendapatan per pengguna dijangka stabil suku ke suku, dengan potensi kenaikan daripada penggunaan peranti baharu.

 

“Margin keuntungan normalisasi sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan dijangka sedikit merosot kepada 39 hingga 40 peratus kerana kos langsung yang lebih tinggi berkaitan perjanjian jalur lebar dan penjualan peranti.

 

“Walaupun tiada kos skema pemisahan sukarela dicatat pada separuh pertama 2025, terdapat kemungkinan caj pada suku ketiga dan keempat yang boleh menjejaskan keuntungan bersih, namun inisiatif pengurusan tenaga kerja ini dilihat positif untuk pengurusan kos kakitangan pada masa depan,” katanya.

 

CIMB Securities mengekalkan saranan beli terhadap saham TM dengan harga sasaran RM7.60, mengambil kira prestasi yang stabil dan prospek pertumbuhan yang berterusan. - DagangNews.com