Titan Aviation lancar operasi di Malaysia, sasar pelanggan jet peribadi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Titan Aviation lancar operasi di Malaysia, sasar pelanggan jet peribadi

Kredit gambar FACEBOOK/TITAN AVIATION

KUALA LUMPUR 26 Mei – Titan Aviation melancarkan operasi rasmi di Malaysia, memperkukuh kehadiran syarikat itu di Asia Tenggara.

 

Syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan Dubai itu berkata, penubuhan hab serantau di negara ini membolehkan syarikat menawarkan perkhidmatan pengurusan pesawat, pajakan jet peribadi serta jual beli pesawat kepada pemilik pesawat dan individu berpendapatan tinggi tempatan.

 

"Penambahan Malaysia sebagai hab serantau mengukuhkan keupayaan kami menawarkan perkhidmatan penerbangan di hab kedua terbesar Asia Tenggara yang terus berkembang sebagai pusat perniagaan dan pelancongan," kata syarikat dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Urusan Titian Aviation, Kapten Sakeer Sheik berkata, Malaysia merupakan pintu masuk strategik di rantau ini dari segi kedudukan dan permintaan terhadap perkhidmatan penerbangan peribadi yang eksklusif dan dipercayai.

 

"Keberadaan kami di sini membolehkan sokongan pantas, teknikal, dan telus kepada pemilik pesawat, pelanggan sewaan serta pelancong korporat.

 

"Kami juga menghargai sokongan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan yang menerima pemain baharu yang menawarkan perkhidmatan mengikut piawaian global," katanya.

 

Pangkalan Malaysia itu akan menawarkan perkhidmatan pengurusan pesawat, sewaan jet peribadi, jual beli pesawat, penyelenggaraan melalui Organisasi Penyelenggaraan Kelayakan Udara Berterusan (CAMO), perkhidmatan teknikal serta penyediaan kru penerbangan.

 

Titan Aviation turut menawarkan kelebihan kepada pelanggan tempatan seperti terma insurans lebih kompetitif, tuntutan lebih pantas, dan premium lebih rendah menerusi liputan kumpulan.

 

"Sama ada mengurus jet Gulfstream milik korporat Malaysia atau mengatur sewaan segera ke Hong Kong dan Jakarta, pasukan kami bersedia memberikan perkhidmatan terbaik," tambah Titian Aviation.

 

Ditubuhkan pada 2004, syarikat itu kini mengurus lebih 30 pesawat dan helikopter termasuk Gulfstream dan Dassault Falcon di seluruh dunia, dengan operasi merangkumi Amerika Syarikat, Eropah, Asia Barat serta Asia Selatan dan Timur termasuk Indonesia, Kemboja, Singapura, dan India.- DagangNews.com