Tiong Nam untung RM3.5 juta, hasil 1H26 melonjak 16.3% kepada RM485.9 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiong Nam untung RM3.5 juta, hasil 1H26 melonjak 16.3% kepada RM485.9 juta

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 25 NovTiong Nam Logistics Holdings Bhd mencatat pemulihan ketara bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 September 2025 (1H26), apabila kumpulan itu catat untung bersih RM3.5 juta, berbanding kerugian bersih RM1.6 juta pada 1H25.

 

Menurut syarikat itu, prestasi lebih kukuh ini didorong peningkatan dalam segmen logistik dan pergudangan yang kekal menjadi penyumbang utama.

 

Bagi tempoh sama, kumpulan merekodkan kenaikan hasil 16.3% kepada RM485.9 juta, sebahagian besarnya disokong oleh segmen logistik dan pergudangan yang menyumbang 95.2% daripada jumlah hasil, iaitu RM462.8 juta, meningkat 15.8% berbanding tahun lalu.

 

Bagi suku dikaji, Tiong Nam melaporkan kenaikan hasil 14.6% kepada RM249.7 juta, manakala EBITDA logistik melonjak 61.4% kepada RM53.3 juta. 

 

Segmen pembangunan hartanah turut mencatat pertumbuhan hasil kepada RM13.6 juta, dipacu kadar ambilan yang sihat di Kota Masai.

 

Pengarah Urusan, Ong Yoong Nyock berkata, kekuatan permintaan merentasi pangkalan pelanggan kumpulan, bersama kapasiti gudang yang semakin berkembang, meletakkan Tiong Nam dalam kedudukan lebih baik untuk menangkap pertumbuhan serantau.

 

“Permintaan yang konsisten daripada pelanggan, ditambah dengan peluasan kapasiti gudang kami, membolehkan Tiong Nam memanfaatkan pertumbuhan perdagangan rentas sempadan yang semakin rancak, termasuk aliran daripada Johor-Singapura SEZ,” katanya dalam kenyataan.

 

Menurut Ong, rancangan kumpulan untuk memperluas jejak pergudangan kepada 11.7 juta kaki persegi menjelang FY28 akan terus mengukuhkan kedudukan Tiong Nam sebagai peneraju logistik bersepadu di Malaysia dan Asia Tenggara. - DagangNews.com