TH umumkan dividen 3.25%, keuntungan FY24 tertinggi dalam 7 tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TH umumkan dividen 3.25%, keuntungan FY24 tertinggi dalam 7 tahun

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Mac — Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.25 peratus selepas zakat bagi tahun kewangan 2024 berakhir 31 Disember 2024 (FY24), tertinggi sejak 2018.
 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pembayaran tahun ini yang berjumlah RM2.92 bilion, akan diagihkan kepada lebih 9.54 juta pendeposit dana itu.
 

“Ini dipacu oleh prestasi pelaburan lebih kukuh, pertumbuhan ekonomi dan pasaran saham yang positif pada 2024, bersama-sama usaha berterusan untuk mengurus kos operasi dengan cekap,” katanya pada sidang akhbar.
 

Agihan keuntungan TH itu juga kata beliau, telah mengambil kira zakat sebanyak 2.5775 peratus yang dilunaskan bagi pihak pendeposit kepada semua Majlis Agama Islam negeri-negeri (MAIN) yang berjumlah RM99.35 juta.
 

Pendeposit tidak perlu lagi mengeluarkan zakat ke atas akaun di TH memandangkan TH telah melunaskan zakat bagi pihak pendeposit dengan jumlah terkumpul zakat yang dijelaskan adalah sebanyak RM1.47 bilion sehingga kini.
 

Jumlah zakat TH diselaraskan kepada MAIN berdasarkan nisbah baki simpanan pendeposit mengikut negeri. Pelunasan zakat ini secara langsung atau tidak langsung dapat membantu usaha kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar.
 

"Pemberian dividen tersebut turut menjadikan jumlah terkumpul semua agihan keuntungan sejak penubuhan agensi pengurusan haji berkenaan selama 61 tahun sebanyak RM45.79 bilion sehingga kini," jelas Mohd Na'im.
 

Pengisytiharan agihan keuntungan ini mematuhi Akta Tabung Haji 1995 dan diumumkan setelah penyata kewangan TH tahun 2024 selesai diaudit oleh Jabatan Audit Negara.
 

Prestasi kewangan kekal kukuh walaupun TH merekodkan rosot nilai ke atas pelaburan legasi pajakan hartanah di Arab Saudi yang dilakukan sebelum tahun 2018.

 

TH1


Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Syed Hamadah Syed Othman berkata, TH mencatatkan pendapatan keseluruhan FY24 berjumlah RM4.56 bilion, meningkat 6.29 peratus berbanding RM4.29 bilion pada FY23.
 

Jumlah aset di bawah pengurusan TH pula katanya, telah mencapai sebanyak RM95.06 bilion, naik 3.77 peratus daripada RM91.61 bilion pada 2023 didorong oleh pendapatan dan nilai pelaburan yang lebih kukuh. 
 

Dana pendeposit TH pula telah mencecah sebanyak RM91.75 bilion pada akhir tahun 2024, iaitu meningkat berbanding hanya RM89.01 bilion pada akhir tahun 2023.
 

“TH sentiasa konsisten dalam membuat keputusan pelaburan yang berhemat bagi melindungi simpanan pendeposit dan pada masa yang sama menambah nilai pelaburan. Keputusan untuk menambahbaik alokasi aset strategik telah dapat menjana pulangan yang baik dari pasaran saham,” jelas beliau. - DagangNews.com