TH Plantations catat keuntungan bersih RM31.6 juta bagi 3QFY2025, lantik Borhan Bachi sebagai CEO baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TH Plantations catat keuntungan bersih RM31.6 juta bagi 3QFY2025, lantik Borhan Bachi sebagai CEO baharu

Datuk Borhan Bachi
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Nov – TH Plantations Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi bagi suku ketiga tahun kewangan 2025 (3QFY2025) dan mengumumkan pelantikan Datuk Borhan Bachi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, TH Plantations berkata, Borhan yang berusia 59 tahun membawa pengalaman lebih 35 tahun dalam industri minyak sawit. 

 

“Beliau sebelum ini mengetuai Bahagian Perladangan FGV Holdings Bhd, yang menguruskan 214 estet dan 66 kilang dengan kapasiti pengilangan sebanyak 18 juta tan setahun. 

 

“Sepanjang tempoh itu, beliau memimpin program transformasi untuk memperkukuh kecekapan, memupuk inovasi, memajukan kelestarian, serta menguruskan segmen R&D, getah dan tenaga boleh diperbaharui FGV. 

 

“Sebelum FGV, Borhan pernah menjawat jawatan CEO Kumpulan Syarikat PUP Bhd,” kata TH Plantations dalam makluman tersebut.

 

Prestasi Kewangan


Bagi 3QFY2025, TH Plantations merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM31.6 juta, meningkat 46.7% berbanding RM21.55 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

TH Plantations berkata, peningkatan itu disokong oleh purata harga jualan lebih tinggi dan kerugian pertukaran asing tidak direalisasikan yang lebih rendah. 

 

“Kerugian pertukaran asing tidak direalisasikan menurun kepada RM4.96 juta daripada RM11.68 juta pada 3QFY2024.

 

“Purata harga jualan minyak sawit mentah (CPO) meningkat 8.66% tahun ke tahun kepada RM4,196 satu tan, harga tandan buah segar (FFB) naik 12.84% kepada RM869 satu tan dan harga isirung sawit meningkat 42.99% kepada RM3,349 satu tan. 

 

“Kenaikan harga ini sebahagiannya diimbangi oleh jumlah jualan CPO dan FFB yang lebih rendah serta pengurangan keuntungan nilai wajar aset biologi,” kata TH Plantations.

 

Hasil suku tahunan meningkat 3% kepada RM259.57 juta daripada RM251.99 juta pada 3QFY2024. 

 

Bagaimanapun, tiada dividen diumumkan bagi tempoh tersebut.

 

Bagi sembilan bulan pertama FY2025, keuntungan bersih meningkat 25% tahun ke tahun kepada RM56.24 juta daripada RM44.99 juta, manakala hasil meningkat 8.5% kepada RM658.71 juta daripada RM607.32 juta. 

 

TH Plantations berkata, usaha berterusan dalam mekanisasi dan automasi telah memperkukuh prestasi operasi dan peningkatan kemahiran serta kecekapan tenaga kerja kekal menjadi keutamaan, terutamanya dalam mengurus kos berkaitan pematuhan gaji minimum dan caruman gaji pekerja asing.

 

Prospek

 

Kumpulan itu tetap berhati-hati dengan harga CPO dijangka kekal mencabar disebabkan ketidaktentuan permintaan global, risiko geopolitik, dan peningkatan pengeluaran. 

 

Tekanan harga juga dijangka berterusan berikutan bekalan kukuh daripada minyak sayuran lain seperti minyak soya, manakala arah pasaran turut bergantung kepada kadar pelaksanaan program biodiesel di Indonesia. - DagangNews.com