KUALA LUMPUR 21 Okt – Terengganu bakal menjalin kerjasama dengan The Weststar Group untuk meneroka potensi kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, satu pertemuan diadakan bersama pengasas The Weststar Group, Tan Seri Dr Syed Azman Syed Hashim baru-baru ini untuk berkongsi pandangan dan visi mengenai kemajuan yang boleh dijalinkan bersama.
Beliau berkata kunjungan itu bukan sekadar pertemuan rasmi tetapi ia adalah peluang untuk bertukar pandangan dan meneroka potensi kerjasama strategik antara negeri dan industri.
“Kunjungan ke The Weststar Group bukan sekadar pertemuan rasmi tetapi peluang untuk bertukar pandangan dan meneroka potensi kerjasama strategik antara negeri dan industri.
“Dalam suasana santai, perbincangan berlangsung penuh nilai hormat dan keterbukaan. The Weststar Group yang diketuai oleh Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim sudah membuktikan keupayaan syarikat tempatan untuk berdaya saing di peringkat antarabangsa.
“Demi masa depan Terengganu yang lebih berdaya maju, kami sedia mendengar, berfikir dan membina jalinan bersama,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini.
Walaupun tidak memperincikan butiran lanjut mengenai pertemuan itu, rakyat Terengganu terus menzahirkan harapan mereka agar kolaborasi yang akan dilaksanakan nanti memberi banyak manfaat kepada mereka terutama dari segi ekonomi dan peluang pekerjaan melalui komen di Facebook tersebut.
The Weststar Group adalah salah satu konglomerat terkemuka negara yang berkembang pesat dalam pelbagai sektor strategik termasuk penerbangan, automotif, tenaga dan pertahanan, menjadikannya antara syarikat tempatan yang berdaya saing di peringkat global.
Pertemuan itu dijangka membuka ruang kepada pertukaran pandangan dan idea yang membina dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala antara sektor awam dan swasta, khususnya dalam bidang pembangunan ekonomi, pelaburan serta teknologi.
Ahmad Samsuri adalah pakar dalam bidang aero angkasa yang mahu menjadikan Terengganu sebagai hab pembuatan serta hab penyelenggaraan dan baik pulih (MRO) bagi pesawat ringan di negeri itu.
Pada Februari lalu, Ahmad Samsuri mengumumkan jalinan kerjasama bersama pelabur yang mahu membangunkan pusat pemasangan komponen pesawat berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Nerus. - DagangNews.com








