Terengganu hilang separuh hak autonomi, hanya urus 50% hasil royalti sejak 2023 - Ahmad Samsuri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Terengganu hilang separuh hak autonomi, hanya urus 50% hasil royalti sejak 2023 - Ahmad Samsuri

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 14 Nov – Terengganu hanya menerima RM733.05 juta daripada keseluruhan royalti petroleum berjumlah RM1.5 bilion pada tahun 2024, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

 

Beliau berkata, kerajaan negeri hanya menguruskan 53% daripada hasil tersebut yang diterima secara terus ke akaun kerajaan negeri manakala bakinya diuruskan pihak lain.

 

“Ini menyebabkan Terengganu hilang autonomi terhadap separuh daripada hasil tersebut.

 

“Bagi tahun 2025 pula (setakat 2 November), Terengganu baru menerima RM1.08 bilion atau 66.44% daripada anggaran RM1.63 bilion.

 

“Daripada jumlah itu pula, hanya RM583.35 juta disalurkan terus ke akaun kerajaan negeri menyebabkan sekali lagi Terengganu kehilangan autonomi terhadap 47% hasil royalti,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika membentangkan ucapan penggulungan Belanjawan Terengganu 2026 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman semalam.

 

t

 

Beliau menyifatkan situasi itu sebagai episod baharu dalam sejarah royalti, yang bermula selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada November 2022.

 

Katanya, penyaluran yang tidak mengikut jumlah sepatutnya dan tidak berpandukan jadual dua kali setahun seperti perjanjian menyukarkan perancangan pembangunan serta program kebajikan rakyat. 

 

“Secara kumulatif, bagi tempoh 2023 hingga 2025, kerajaan negeri hanya dibenarkan mengurus 50% hasil royalti petroleum.

 

“Sebab itu, kerajaan negeri akan terus memperjuangkan supaya proses pemberian royalti kembali dibuat seperti sebelum tahun 2022,” katanya.

 

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang menegaskan perjuangan berkaitan royalti bukan kerana tiada isu lain, tetapi kerana ia merupakan hak negeri yang termaktub dalam perjanjian antara PETRONAS dan kerajaan negeri. 

 

Beliau turut menyatakan bahawa sekiranya Malaysia mahu mengurangkan jurang pembangunan antara negeri, konsep federalisme yang lebih adil seperti cooperative federalism atau fiscal equalization perlu dipertimbangkan di peringkat Persekutuan.

 

“Walaupun berdepan cabaran penyaluran hasil royalti, kerajaan negeri tetap mencatatkan prestasi lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya. 

 

“Dalam tempoh RMK12 (2021–2024), purata hasil negeri meningkat 11.9% kepada RM264.88 juta setahun berbanding RM236.77 juta dalam RMK11. 

 

“Ekonomi negeri berkembang purata 4.1% setahun, lebih tinggi daripada 1.9% sebelum ini, manakala nilai pelaburan kumulatif meningkat 48.2% kepada RM14.3 bilion berbanding RM9.6 bilion dalam RMK11,” katanya. - DagangNews.com