Terengganu bentang Belanjawan 2026 berjumlah RM1.93 bilion - Menteri Besar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Terengganu bentang Belanjawan 2026 berjumlah RM1.93 bilion - Menteri Besar

Persidangan DUN Terengganu - Gambar UPDI
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 10 Nov – Kerajaan negeri Terengganu membentangkan Belanjawan 2026 dengan belanjawan lebihan (surplus) berjumlah RM1.938 bilion dengan anggaran hasil RM1.998 bilion.

 

Jumlah itu meningkat berbanding RM1.887 bilion yang dibentangkan untuk Belanjawan 2025, juga belanjawan surplus.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Belanjawan 2026 kali ini menyediakan RM1.938 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM450 juta.

 

Beliau berkata, sektor sosial kekal menerima peruntukan terbesar iaitu RM323.8 juta atau 72% daripada keseluruhan Perbelanjaan Pembangunan, peruntukan untuk sektor ekonomi pula ditambah kepada RM92.84 juta atau 20.6% berbanding hanya 4.4% dalam Belanjawan 2025, manakala peruntukan bagi sektor pentadbiran pula adalah sebanyakRM33.37 juta atau 7.4%.

 

“Kerajaan Negeri juga komited untuk meningkatkan hasil janaan negeri kepada RM288.59 juta iaitu RM85.36 juta daripada Hasil Cukai dan RM203.23 juta daripada Hasil Bukan Cukai di samping RM1.709 bilion daripada Terimaan Bukan Hasil menjadikan keseluruhan hasil berjumlah RM1.998 bilion iaitu surplus sebanyak 3%,” katanya.

 

Ahmad Samsuri membentangkan Belanjawan 2026 bertemakan ‘Memacu Potensi, Melonjak Prestasi’ di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.

 

Sehingga 31 Oktober 2025, Terengganu telah menjana hasil berjumlah RM261.61 juta termasuk daripada sumber air, atau 93% daripada yang dianggarkan bagi tahun ini dan lebih tinggi sebanyak RM16.62 juta berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu. 

 

“Manakala perbelanjaan pula adalah sebanyak RM1.416 bilion iaitu lebih rendah berbanding jumlah keseluruhan hasil sekali gus berjaya mengelakkan defisit fiskal dan mengekalkan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

 

Tambahnya, kerajaan Negeri sentiasa komited dalam meningkatkan hasil janaan negeri namun pelaksanaan pelbagai dasar fiskal serta program dan projek adalah menekankan rangsangan pertumbuhan ekonomi dan sosial yang seimbang bagi menjamin kesejahteraan yang menyeluruh dalam kalangan rakyat.

 

 

t
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

 

Beliau berkata, fokus Belanjawan 2026 ini adalah untuk memperkemas tadbir urus Kerajaan Negeri, menstruktur daya tahan ekonomi dan melestarikan keperluan sosial bagi mencapai sasaran peningkatan hasil janaan negeri yang lebih tinggi, ekonomi bertumbuh antara 3.4% hingga 4.2% dan Negeri Terengganu terus mengungguli di tangga teratas dalam Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia.
 

“Sehingga kini, Negeri Terengganu dilihat berada di landasan yang betul untuk menepati sasaran ini apabila banyak indikator menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan.

 

“Bagi tempoh RMK12 dari tahun 2021 hingga 2024, purata hasil janaan negeri meningkat sebanyak 11.9% kepada RM264.88 juta setahun berbanding RM236.77 juta setahun bagi tempoh RMK11; manakala ekonomi pula berkembang secara purata 4.1% setahun berbanding 1.9% setahun bagi tempoh RMK11.

 

“Nilai pelaburan kumulatif bagi tempoh RMK12 sehingga Jun tahun ini meningkat sebanyak 48.2% kepada RM14.3 bilion berbanding RM9.6 bilion bagi sepanjang tempoh RMK11,” katanya.

 

Tambahnya, bilangan perniagaan dan syarikat yang beroperasi di Negeri Terengganu meningkat sebanyak 12.7% kepada 38,448 dengan semua sektor merekodkan pertambahan berbanding 34,126 pada tahun 2024.

 

“Selain itu, kadar pengangguran sehingga suku kedua 2025 menurun kepada 2.8% berbanding 3.4% pada suku keempat 2024.

 

“Di samping memperoleh skor Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia yang tertinggi iaitu 8.64 pada 2024 menjadikan Negeri Terengganu sebagai negeri di tahap sangat bahagia, peratus kebahagiaan Negeri Terengganu dalam Indeks Kebahagiaan Malaysia pada tahun 2025 juga meningkat kepada 89.4% berbanding 87.6% pada tahun 2024.

 

“Saya percaya bahawa sokongan dan dukungan padu daripada seluruh warga sektor awam, pihak swasta dan rakyat terhadap Kerajaan Negeri adalah kunci sebenar kepada prestasi ini dan begitu juga kejayaan akan datang, insya-Allah,” katanya. - DagangNews.com