Temu, Atome jalin kerjasama tawar pembayaran ansuran tanpa faedah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Temu, Atome jalin kerjasama tawar pembayaran ansuran tanpa faedah

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Feb — Penyedia platform e-dagang global, Temu bekerjasama untuk membolehkan para pelanggannya memilih Atome sebagai kaedah pembayaran fleksibel pilihan mereka semasa mahu melaksanakan proses pembayaran menerusi Temu.
 

Langkah ini membolehkan pelanggan Malaysia menikmati pilihan pembayaran ansuran tanpa faedah apabila membeli-belah untuk pelbagai produk di platform Temu manakala pengguna baharu Atome mendapat manfaat baucar diskaun eksklusif pembelian pertama dengan Temu.
 

Menurut kenyataan, kerjasama tersebut selaras dengan trend beli-belah dalam talian yang terus meningkat positif di Malaysia, melalui kemudahan penggunaan pelbagai aplikasi digital yang pesat selain perubahan tabiat pengguna sendiri akhir-akhir ini. 
 

Berdasarkan laporan landskap e-dagang 2024 terbitan Ipsos Malaysia, hampir seorang daripada 2 rakyat Malaysia membeli-belah dalam talian pada tahun lalu, dengan pertumbuhan yang ketara dalam kalangan mereka yang berumur 18-24 dan 35-44 tahun.
 

"Fesyen, aksesori, elektronik dan produk penjagaan rumah adalah antara kategori yang paling popular," katanya. Atome merupakan platform perkhidmatan kewangan digital yang terkemuka di Asia Tenggara manakala Temu pula ialah platform e-dagang global.
 

Peralihan pesat dalam keutamaan pengguna ujarnya, menjadikan Malaysia sebagai hab e-dagang serantau terkemuka, malah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan ada lonjakan positif sepanjang dua tahun lalu berbanding situasi pada tahun sebelumnya.
 

Sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan e-dagang kata agensi berkenaan, berjaya menyumbang sebanyak RM427.7 bilion kepada ekonomi negara pada 2023, meningkat kira-kira 3.9 peratus daripada data untuk tahun sebelumnya.
 

Ketua Pegawai Komersial, Atome Financial, Andy Tan berkata: “Kami berasa sangat teruja dengan perkongsian ini. Sepanjang 18 bulan yang lalu, Temu telah menjadi salah satu platform e-dagang yang paling popular dalam kalangan pengguna di Malaysia."
 

Justeru langah pengintegrasian Atome sebagai pilihan pembayaran akan memberi jutaan pelanggan Temu di Malaysia pilihan, kemudahan dan fleksibiliti cara mereka ingin membeli-belah dan membayar, serta meningkatkan pengalaman berbelanja pengguna. - DagangNews.com