Tarif elektrik perlu dinaikkan - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tarif elektrik perlu dinaikkan - PM Anwar

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Feb - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyatakan bahawa kadar tarif elektrik perlu dinaikkan pada separuh kedua tahun ini.

 

Beliau sambil mengakui langkah itu akan menyukarkan atau merugikan, namun menyatakan yang kerajaan tetap juga bersedia mendengar pandangan lain.



"Keputusan itu, pada saya, sesuatu yang perlu dilakukan kerana harganya perlu naik," kata beliau kepada hadirin pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina yang diadakan di sebuah hotel di sini.

 



Bagaimanapun Anwar menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya kenaikan tarif tersebut akan mencecah sehingga 14 peratus.



Bermula Julai depan, tarif asas elektrik di Semenanjung Malaysia akan dinaikkan sebanyak 14.2 peratus kepada 45.62 sen setiap kilowatt-jam (kWh).



Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Disember lalu memaklumkan yang kenaikan ini didorong terutamanya oleh kenaikan kos bahan api.



Pada 27 Disember lalu, Anwar bagaimanapun berkata kerajaan sedang mengambil langkah untuk memastikan sebarang kenaikan tarif elektrik tidak membebankan rakyat dan telah meminta TNB memberikan penjelasan.



Dalam pada itu beliau turut mengulas mengenai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membabitkan pekerja warga asing.

 

Beliau menafikan konon kadar itu akan meningkat, sebaliknya kekal pada kadar dua peratus, yang disifatkan lebih rendah berbanding cadangan awal sebanyak 12 peratus.

 

“Tetapi terdapat kebimbangan ia akan meningkat, bermula pada dua peratus kemudian naik kepada empat peratus dan enam peratus. Ia bukan begitu. Kita kekalkannya pada 2 peratus, yang mana sangat minimum,” katanya.

 

Anwar berkata Kabinet akan menaikkan kadar caruman berkenaan kepada empat peratus apabila keadaan bertambah baik.

 

Dalam ucapannya hari ini, Anwar turut menggesa sektor swasta menyumbang dalam membangunkan 'pusat kecemerlangan' Malaysia, merujuk kepada fakulti dan latihan dalam bidang pendidikan dan transformasi digital. - DagangNews.com