KUALA LUMPUR 12 Nov – Taobao menjalinkan kerjasama strategik tiga pihak bertujuan menyokong lebih ramai pencipta kandungan tempatan melalui program afiliasi Taobao, bagi memacu pertumbuhan e-dagang rentas sempadan menerusi pemasaran kandungan dan video berdurasi pendek.
Usaha dilaksanakan platform e-dagang antarabangsa milik Alibaba Group itu dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Good Foodie Media Sdn Bhd, anak syarikat Foodie Media Berhad, dan W Talent Academy Sdn Bhd, agensi bakat serta livestream yang pesat berkembang.
Taobao Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata, usaha ini menegaskan komitmen berterusan syarikat dalam memperkukuh ekonomi pencipta tempatan, membuka peluang pendapatan baharu kepada pencipta kandungan dan pengguna biasa, di samping meningkatkan penemuan produk di platform Taobao menerusi livestreaming dan kandungan sosial.
Katanya, Malaysia kekal sebagai salah satu pasaran utama Taobao di Asia Tenggara, dipacu oleh permintaan kukuh terhadap produk luar negara berharga kompetitif.
“Ketika tingkah laku pengguna semakin berubah, format social commerce khususnya video pendek dan livestreaming semakin mempengaruhi keputusan pembelian pengguna di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Industri perdagangan digital tempatan dijangka berkembang pada Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (CAGR) 14.32% dari 2025 hingga 2033, mencerminkan peningkatan kadar penggunaan digital serta keyakinan terhadap platform e-dagang.
Ketua Negara Taobao Malaysia, Jess Lew berkata, ekonomi pencipta menawarkan potensi besar, terutama di Malaysia yang menyaksikan peningkatan permintaan terhadap produk luar negara.
“Melalui komisen menarik dan sokongan program afiliasi, program afiliasi Taobao membolehkan pencipta mapan, mikro-pengaruh dan pengguna harian menjana pendapatan melalui kandungan mereka sambil membantu pengguna membeli dengan lebih yakin.
“Bersama Foodie Media dan W Talent, kami menyasarkan untuk merekrut lebih 200 pencipta kandungan bagi menghasilkan kandungan menarik dan mengendalikan sesi livestream interaktif yang mengetengahkan penceritaan sosial autentik, mempromosikan produk trending serta membina pengalaman jenama yang lebih tempatan,” kata Lew.
Beliau menambah, kategori berprestasi tinggi yang dijangka memacu pertumbuhan afiliasi dan livestreaming termasuk fesyen & aksesori, kediaman & hiasan dalaman, sukan & rekreasi, permainan & koleksi serta perabot.
Sementara itu, Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Foodie Media, Nicholas Lim Pinn Yang berkata, kerjasama ini mewujudkan landasan kukuh untuk memperluas kesedaran dan penyertaan dalam program afiliasi Taobao, membolehkan lebih ramai pencipta kandungan dan mikro-pengaruh membuka potensi pendapatan baharu.
“Dengan rangkaian pencipta kandungan kami dan pengalaman dalam membangunkan kempen berasaskan komersial, Foodie Media akan bekerjasama rapat dengan Taobao Malaysia bagi membekalkan panduan kandungan serta pandangan pasaran kepada peserta,” katanya.
Pengarah W Talent, Lim Yeong Shen pula berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Taobao Malaysia dalam memperluas penglibatan pencipta dalam format livestream dan kandungan sosial.
“Dengan kepakaran kami dalam pembangunan bakat dan pelaksanaan kempen, kami mahu memperkasa pencipta Malaysia dengan alat, pengetahuan, dan peluang pendapatan yang diperlukan untuk berjaya dalam ekonomi pencipta masa kini,” katanya.
Program afiliasi Taobao menyediakan laluan mudah bagi pencipta dan pengguna biasa menjana pendapatan sampingan dengan berkongsi cadangan produk.
Peserta boleh memperoleh komisen sehingga 30% bagi setiap produk, bonus rujukan sehingga RM26 bagi pengguna baharu, serta insentif khas semasa jualan mega seperti 11.11, 12.12 dan jualan pertengahan tahun, termasuk bonus tambahan, kadar komisen lebih tinggi, dan ganjaran berdasarkan prestasi. - DagangNews.com








