Tan Sri Abdul Wahid Omar dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif IOI Corp berkuat kuasa 5 November | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tan Sri Abdul Wahid Omar dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif IOI Corp berkuat kuasa 5 November

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 4 Nov – Syarikat perladangan terkemuka, IOI Corporation Bhd, mengumumkan pelantikan Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif baharu syarikat itu berkuat kuasa 5 November 2025.

 


Menurut IOI Corp, Abdul Wahid, 61, menggantikan Tan Sri Peter Chin Fah Kui yang bersara pada Selasa selepas berkhidmat dalam lembaga pengarah sejak Disember 2014.

 

IOI Corp berkata, pelantikan Abdul Wahid bakal memperkukuh hala tuju strategik kumpulan berkenaan dengan membawa pengalaman luas dalam sektor korporat, kewangan dan perkhidmatan awam.

 

 

 

 

 

 

 

 

“Abdul Wahid merupakan tokoh korporat berpengalaman dengan lebih tiga dekad kepimpinan merentasi syarikat berkaitan kerajaan, sektor kewangan dan pentadbiran awam,” jelas IOI Corp.

 


Beliau kini Pengerusi Cypark Resources Bhd, World Wide Fund for Nature (WWF)-Malaysia, serta Yayasan MySDG, yang menumpukan kepada pembangunan lestari dan agenda hijau negara.

 


Sebelum ini, Abdul Wahid pernah berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank dari Mei 2008 hingga Jun 2013, selain turut memegang jawatan Pengerusi Persatuan Bank-bank Malaysia (ABM) pada tempoh sama.

 


Beliau kemudiannya menyertai sektor awam sebagai Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap perancangan ekonomi dari Jun 2013 hingga Jun 2016.

 

 

 

 

 

 


Selepas itu, beliau dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dari Ogos 2016 hingga Jun 2018, dan baru-baru ini menamatkan tempoh lima tahun sebagai Pengerusi Bursa Malaysia Bhd pada 30 April 2025.

 


Pelantikan Abdul Wahid dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuh tadbir urus korporat dan kepimpinan lestari IOI Corp, sejajar dengan aspirasi syarikat untuk terus menjadi peneraju dalam sektor perladangan dan minyak sawit global. - DagangNews.com