Takaful Malaysia catat keuntungan RM468 juta, isytihar dividen interim 18.5 sen sesaham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Takaful Malaysia catat keuntungan RM468 juta, isytihar dividen interim 18.5 sen sesaham

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 26 NovSyarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025, telah mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM468 juta, meningkat 8% berbanding RM435.2 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Prestasi kukuh itu turut dipacu pertumbuhan hasil apabila pendapatan takaful kumpulan melonjak kepada RM2.75 bilion, meningkat RM86.1 juta tahun ke tahun, hasil pengembangan perniagaan yang lebih agresif di seluruh segmen teras.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, prestasi bagi tempoh sembilan bulan tersebut mengesahkan kedudukan Kumpulan sebagai peneraju industri dengan disiplin operasi yang tinggi.

 

Menurutnya, pertumbuhan pendapatan dan keuntungan yang berdaya tahan itu dicapai walaupun berdepan persekitaran pasaran yang mencabar.

 

“Keputusan kewangan yang stabil ini mencerminkan ketahanan segmen perniagaan utama Kumpulan terutamanya dalam sektor bankatakaful, perbendaharaan, faedah pekerja serta takaful am.

 

“Malah, kumpulan turut mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 18.5 sen sesaham yang berjumlah RM161.4 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025,” katanya dalam kenyataan.

 

Menurut beliau, jumlah pembayaran dividen itu mencatatkan peningkatan 8.8% berbanding 17 sen yang diumumkan pada tahun sebelumnya, sekali gus membuktikan kedudukan kesolvenan syarikat yang kukuh.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Takaful Malaysia turut melakar satu lagi pencapaian penting apabila berjaya melengkapkan terbitan sulung Sukuk Subordinat Tahap Kedua berjumlah RM500 juta dengan kadar keuntungan 3.83% setahun.

 

Proses pembinaan buku bagi sukuk tersebut mendapat sambutan luar biasa dengan jumlah pesanan melebihi RM2 bilion, iaitu lebihan langganan lebih empat kali ganda daripada pelabur institusi dan pengurus aset.

 

Sementara itu, Nor Azman berkata, melangkah ke hadapan, kumpulan akan terus menumpukan kepada inovasi berteraskan pelanggan serta pemantapan keupayaan digital melalui platform Kaotim yang semakin mendapat sambutan.

 

“Syarikat yakin kumpulan berada pada kedudukan yang kukuh untuk mengharungi baki tahun ini dengan tangkas bagi menjana nilai jangka panjang yang mampan kepada semua pihak berkepentingan,” katanya. - DagangNews.com