TA Securities unjur saham Exsim, CBH, Southern Score, PGF dan SkyWorld berpotensi besar tahun ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Securities unjur saham Exsim, CBH, Southern Score, PGF dan SkyWorld berpotensi besar tahun ini

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 FebTA Securities menjangkakan saham bermodal kecil berpotensi mengatasi prestasi indeks utama bursa FBMKLCI pada tahun ini, didorong oleh faktor momentum pasaran lebih positif.


Firma penyelidikan tersebut menambah, keyakinan itu turut bersandarkan kepada aspek pertumbuhan keuntungan syarikat-syarikat berkenaan, dan peluang kenaikan harga yang dinilai cukup signifikan.


Sehubungan itu jelasnya, indeks saham bermodal kecil tersebut, FBMSC mempunyai 57% kemungkinan mengatasi FBMKLCI dalam fasa menaik, selepas mencatat prestasi lemah dengan susut 12.2% pada 2025.


"FBMSC berpotensi memberikan pulangan lebih tinggi berbanding saham 'blue-chip', dan kami menapis saham berdasarkan permodalan RM200 juta hingga RM3 bilion," kata TA Securities dalam notanya itu.


Justeru, firma berkenaan memberi saranan 'beli', dengan potensi kenaikan dan pertumbuhan pendapatan sesaham (EPS) 2025 hingga 2028 serta mengenal pasti lima saham FBMSC yang berpotensi cukup tinggi.


Mereka ialah Exsim Hospitality, CBH Engineering, Southern Score Builders, PGF Capital, dan SkyWorld Development kerana dianggap mempunyai prospek pertumbuhan kukuh, serta pemacu keuntungan stabil.


Di samping itu tambah TA Securities, saham-saham syarikat tersebut ada prospek penilaian tinggi, menjadikannya 'dark horses' yang berpotensi besar memacu pulangan melebihi pasaran pada 2026.


"Bagaimanapun kami menekankan yang 2025 merupakan tahun mencabar bagi saham yang bermodal kecil, dipengaruhi oleh ketidaktentuan global, tarif antarabangsa dan ketegangan geopolitik," jelasnya.


FBMSC kata firma itu, dilihat mula terjejas teruk sejak Oktober 2025, dengan penurunan ketara banyak saham berkenaan, antaranya seperti Perak Transit, D&O Green Technologies dan VS Industry.


Awal 2026 pula ujar TA Securities, namun menunjukkan semangat pasaran kembali, dengan FBMKLCI turut naik 3.1% setahun ke tarikh (YTD), menandakan pemulihan berpotensi untuk saham bermodal kecil.


Firma penyelidikan turut menegaskan bahawa risiko syarikat dalam FBMSC lebih tinggi berbanding 'blue-chip', termasuk ketidaktentuan keuntungan, kecairan lebih rendah, dan kejutan makroekonomi.


"Ini termasuk kenaikan kadar faedah, dan kami menyarankan strategi seimbang, dengan digabungkan saham bermodal kecil dan besar bagi memaksimumkan pulangan serta mengurangkan risiko," katanya.

 

 

 

 

 


Lima pilihan saham bermodal kecil itu jelas TA Securities, diposisikan untuk menjadi pemacu pertumbuhan portfolio pada 2026, dengan potensi pulangan yang lebih tinggi daripada pasaran umum.


Perkembangan tersebut tambah firma itu, sejajar dengan momentum 'Tahun Kuda' bersempena dengan Tahun Baharu Cina dan keyakinan terhadap pemulihan ekonomi domestik. - DagangNews.com