TA Securities menilai harga saham Aquawalk yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 37 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Securities menilai harga saham Aquawalk yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 37 sen

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Nov – Harga sasaran Aquawalk Group Bhd dijangka meningkat kepada 37 sen sesaham dengan potensi kenaikan sebanyak 20.2% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 31 sen, menurut TA Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, harga sasaran itu dikira berdasarkan unjuran pendapatan Aquawalk bagi tahun 2026, menggunakan gandaan 13 kali keuntungan sesaham. 

 

Penilaian itu dibuat dengan diskaun sekitar 25% berbanding purata syarikat serantau, bagi mencerminkan saiz dan tahap risiko Aquawalk yang berbeza.

 

Aquawalk, pengendali akuarium swasta terbesar di Malaysia dan pemilik Aquaria KLCC, dijangka disenaraikan di Pasaran ACE pada 19 November ini.

 

IPO tersebut melibatkan 368.6 juta saham baharu dan 368.6 juta saham sedia ada, bersamaan 40% daripada modal saham diperbesarkan syarikat, dengan nilai pasaran sebanyak RM571.3 juta.

 

Menurut TA Securities, Aquawalk dijangka mengumpul hasil kasar RM114.2 juta daripada penyenaraian itu, dengan RM89.7 juta diperuntukkan bagi pengembangan modal, RM3 juta untuk menaik taraf sistem teknologi maklumat (IT), RM14.5 juta bagi modal kerja, dan RM7 juta untuk menampung perbelanjaan penyenaraian.

 

Firma itu berkata, pertumbuhan pendapatan Aquawalk disokong oleh pemulihan sektor pelancongan pasca pandemik, penambahan tarikan baharu di Aquaria KLCC dan Aquaria Phuket, serta rancangan membangunkan oceanarium baharu di Kota Kinabalu dan Jawa.

 

“Keuntungan bersih Aquawalk dijangka meningkat 8.2% pada tahun kewangan 2025 (FY2025) dan 7.1% pada FY2026, dengan unjuran hasil dividen antara 2.6% hingga 3% berdasarkan dasar pembayaran 30% daripada keuntungan bersih,” kata TA Securities dalam nota kajiannya.

 

Ditubuhkan pada tahun 2005, Aquawalk mengendalikan dan memiliki bersama akuarium di Malaysia, Thailand dan Indonesia, selain menawarkan perkhidmatan reka bentuk, pembangunan dan penyelenggaraan akuarium melalui anak syarikatnya, Aquablu Technologies.

 

TA Securities berkata, tumpuan Aquawalk terhadap pasaran khusus seperti pengendalian dan pembangunan akuarium memberi kelebihan kerana bidang ini tidak mempunyai banyak pesaing.

 

“Selain itu, halangan kemasukan yang tinggi seperti keperluan modal besar, pengalaman teknikal dan lesen khas menjadikan pasaran ini sukar diterokai oleh pemain baharu.

 

“Aquawalk turut memiliki keupayaan teknikal dalaman yang kukuh melalui anak syarikatnya, Aquablu Technologies, yang terlibat dalam reka bentuk, pembangunan dan penyelenggaraan akuarium. 

 

“Keupayaan ini membolehkan syarikat mengawal kualiti, mengurangkan kos dan mengekalkan kelebihan daya saing dalam industri tersebut,” katanya. - DagangNews.com