KUALA LUMPUR 21 Nov – Suria Capital Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM20.33 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 (3QFY2025), meningkat berbanding RM16.98 juta yang direkodkan pada suku sama tahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kumpulan berkata, prestasi lebih baik itu disokong peningkatan hasil operasi kepada RM124.59 juta berbanding RM67.01 juta pada 3QFY2024, sekali gus melonjakkan jumlah hasil suku tersebut kepada RM125.26 juta.
“Kos operasi meningkat kepada RM78.30 juta namun keuntungan kasar tetap bertambah kepada RM46.28 juta, meningkat berbanding RM25.67 juta setahun lalu.
“Pendapatan faedah yang lebih tinggi pada RM7.06 juta, serta sumbangan RM3.10 juta daripada syarikat bersekutu turut membantu meningkatkan prestasi kumpulan bagi suku berkenaan,” kata Suria Capital.
Syarikat itu turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak 1.50 sen sesaham, yang akan dibayar pada 26 Disember.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025, Suria Capital mencatatkan keuntungan bersih RM43.13 juta, sedikit rendah berbanding RM46.75 juta pada tempoh sama 2024, disebabkan perbelanjaan pentadbiran serta perbelanjaan lain yang lebih tinggi.
Dari segi kedudukan kewangan, jumlah aset Kumpulan berada pada RM1.44 bilion manakala ekuiti pemegang saham meningkat kepada RM1.18 bilion berbanding RM1.14 bilion pada akhir 2024.
Sepanjang tempoh tersebut, Suria Capital telah mengagihkan dividen berjumlah RM5.19 juta kepada pemegang saham.
Pada akhir Julai lalu, pengendali pelabuhan itu telah menerima surat pemakluman awal daripada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS) berhubung pelaksanaan projek loji jana kuasa gas berkapasiti 100 megawatt (MW) yang bakal dibangunkan di Kimanis.
Projek tersebut dilaksanakan oleh konsortium yang melibatkan anak syarikat milik penuhnya, SCHB Engineering Services Sdn Bhd (SCES) bersama rakan usaha sama, Innoprise Corp Sdn Bhd, syarikat pelaburan milik Yayasan Sabah.- DagangNews.com








