Sunview perluas penguasaan pasaran solar kediaman melalui kerjasama strategik dengan NuEnergy | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunview perluas penguasaan pasaran solar kediaman melalui kerjasama strategik dengan NuEnergy

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 27 NovSunview Group Bhd memasuki pasaran solar kediaman yang berkembang pesat dengan penguasaan 60% ekuiti dalam SunMate Energy Sdn Bhd susulan kerjasama strategik bersama NuEnergy Holdings Bhd.

 

Kerjasama itu dimeterai menerusi perjanjian langganan saham antara unit tidak langsung Sunview, SunMate Energy Sdn Bhd dan NuEnergy bagi menyokong pelaksanaan projek tenaga solar bumbung pada masa hadapan.

 

Di bawah perjanjian tersebut, modal saham SunMate akan ditingkatkan kepada 1 juta saham. 

 

Unit milik Sunview, Sunview Ventures Sdn Bhd akan melanggan sebanyak 599,900 saham baharu, manakala NuEnergy mengambil alih 400,000 saham pada harga RM400,000.

 

SunMate akan dimiliki 60 peratus oleh Sunview Ventures dan 40 peratus oleh NuEnergy, sekali gus memperkukuh struktur pemilikan bagi mempercepat peluasan projek tenaga boleh baharu dalam segmen kediaman.

 

Kedua-dua syarikat merupakan pemain tenaga boleh baharu yang memberi tumpuan kepada penyelesaian solar.

 

Pengarah Eksekutif Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sunview, HP Ong berkata, permintaan terhadap sistem solar bumbung terus meningkat sejajar dengan kecenderungan pemilik rumah mencari sumber tenaga yang bersih dan boleh dipercayai.

 

“Kerjasama ini mencerminkan visi strategik bersama untuk mengukuhkan kehadiran kedua-dua organisasi dalam pasaran solar kediaman selain menyokong peralihan tenaga bersih Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau berkata, penggabungan kepakaran dan penyelarasan operasi dijangka menjadikan penyelesaian solar bumbung lebih mudah diakses dan menarik kepada pemilik rumah, di samping meningkatkan kualiti perkhidmatan serta kecekapan operasi.

 

“Syarikat percaya penjajaran ini akan memacu pertumbuhan mampan dan memberi sumbangan positif kepada masa depan tenaga bersih Malaysia,” katanya. - DagangNews.com