Subsidiari AZRB dikemukakan petisyen gulung tikar oleh Nurachem tuntut RM318,601 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Subsidiari AZRB dikemukakan petisyen gulung tikar oleh Nurachem tuntut RM318,601

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 15 April - Ahmad Zaki Sdn Bhd (AZSB), anak syarikat milik penuh Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB) telah dikemukakan petisyen penggulungan syarikat oleh Nurachem Sdn Bhd yang mendakwa tunggakan bayaran berjumlah RM318,601.40 bagi pembekalan dan penghantaran bahan kuari.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, petisyen berkenaan difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya pada 13 Mac 2026 dan diserahkan kepada AZSB pada 25 Mac 2026.

 

Menurut AZRB, pihak pempetisyen mendakwa AZSB gagal menjelaskan jumlah tertunggak tersebut, sekali gus mendorong tindakan undang-undang untuk menggulung syarikat subsidiari berkenaan.

 

Syarikat itu berkata, jumlah kos pelaburannya dalam AZSB ialah RM165.3 juta.

 

AZRB berkata, AZSB bukan subsidiari utama kumpulan dan justeru petisyen itu tidak dijangka memberi kesan kewangan atau operasi yang signifikan kepada syarikat.

 

“Selain fi guaman dan perbelanjaan berkaitan, Kumpulan AZRB tidak menjangkakan sebarang kerugian susulan petisyen tersebut,” katanya.

 

Rundingan sedang dijalankan

Kumpulan itu menambah, pihaknya kekal optimis perkara berkenaan dapat diselesaikan tanpa berlanjutan.

 

AZRB berkata, AZSB kini sedang berbincang dengan Nurachem bagi mencapai penyelesaian segera dan secara baik.

 

Lembaga pengarah juga menjelaskan kelewatan membuat pengumuman kepada Bursa Malaysia adalah disebabkan syarikat pada setiap masa material terlibat dalam rundingan tulen dan dibuat dengan niat baik bersama pempetisyen bagi menyelesaikan perkara itu secara harmoni. - DagangNews.com