Status Malaysia dalam CPTPP, RCEP kekal kerana AS bukan negara anggota | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Status Malaysia dalam CPTPP, RCEP kekal kerana AS bukan negara anggota

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Mac — Kedudukan Malaysia sebagai negara anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) serta Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) ketika ini masih lagi tidak berubah.
 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, status tersebut adalah kekal meskipun timbul isu ketidaktentuan daripada dasar tarif yang sedang dilaksanakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
 

"AS bukanlah negara anggota CPTPP mahupun RCEP. Sehingga kini, dasar-dasar ekonomi diumumkan Trump masih belum memberi impak secara langsung ke atas ekonomi negara," katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara hari ini.
 

Beliau menjawab soalan Senator Rita Sarimah Patrick Insol yang ingin tahu mengenai penyertaan Malaysia dalam perjanjian perdagangan pelbagai hala termasuk CPTPP dan RCEP akan berubah disebabkan ketidaktentuan polisi Trump pada ketika ini.
 

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul bagaimanapun berkata, kerajaan akan terus memantau rapi perkembangan dasar-dasar baharu AS serta merancang strategi-strategi yang bersesuaian bagi menangani sebarang implikasi terhadap ekonomi negara.
 

Kerajaan juga akan terus mempromosikan Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi terbuka dan destinasi pelaburan yang selamat dengan menekankan isu kestabilan politik, dasar properniagaan, serta lokasi strategiknya di rantau Asia Tenggara.
 

"Sehubungan itu, sebagai sebuah negara perdagangan, Malaysia akan terus berusaha untuk mempelbagaikan pasaran eksport bagi barangan dan perkhidmatan tempatan. Lanjutan dari ini, Malaysia telah memeterai lagi beberapa perjanjian.
 

"Ini termasuk telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 14 Januari 2025 dan mengumumkan penyambungan semula rundingan perjanjian bebas dengan Kesatuan Eropah (EU)," kata beliau.
 

Malaysia juga kata Tengku Zafrul akan berusaha untuk meningkatkan lagi perdagangan dan pelaburan dalam kalangan negara-negara ASEAN khususnya meningkatkan kepenggunaan RCEP selain mengunakan pendekatan bersifat 'soft diplomacy'.
 

Antaranya ujar beliau, dengan mengadakan perbincangan serta sesi libat urus secara berterusan di peringkat kementerian berkenaan dengan pihak Jabatan Perdagangan AS (DOC) dan Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR).
 

'Soft diplomacy' ini tambahnya, dapat membantu kerajaan Malaysia untuk mengutarakan pandangannya berkaitan impak tarif oleh AS secara terus kepada pembuat dasar dari USTR dan DOC sekiranya duti itu dikenakan kepada negara ini.
 

Malah kerajaan juga tegas Tengku Zafrul, berhasrat untuk mengeratkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan semua negara tanpa menjejaskan prinsip kedaulatan dan kepentingan Malaysia sendiri. - DagangNews.com