KUALA LUMPUR 19 Nov – Solarvest Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM18.73 juta bagi suku kedua (Q2) berakhir 30 Sept 2025, meningkat dua kali ganda berbanding RM9.2 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hasil syarikat melonjak 63.1 peratus kepada RM169.47 juta daripada RM103.91 juta tahun sebelumnya.
Solarvest menyatakan pertumbuhan hasil ini didorong oleh pelaksanaan berterusan projek solar berskala utiliti di bawah program Tenaga Hijau Korporat (CGPP).
Tahun lalu, hasil lebih rendah kerana projek LSS4 hampir siap manakala projek CGPP belum bermula.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama, Solarvest mencatatkan keuntungan bersih RM34.61 juta, dua kali ganda daripada RM17.04 juta tahun sebelumnya, manakala hasil meningkat 74 peratus kepada RM307.21 juta berbanding RM176.56 juta.
Unit kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) syarikat berkata, sokongan dasar kerajaan berterusan terhadap sektor tenaga boleh diperbaharui menjadi pemangkin pertumbuhan.
Program Tindakan Peralihan Dipercepat Tenaga Solar, pengganti Skim Penjulaan Tenaga Bersih, dijangka merangsang permintaan untuk penyelesaian solar bumbung dalam segmen kediaman, komersial dan industri.
Sehingga 30 Sept 2025, baki tempahan tidak ditagih syarikat berjumlah RM1.33 bilion, yang dijangka diiktiraf secara berperingkat dalam dua tahun kewangan akan datang.
“Kumpulan kekal fokus untuk memperluaskan baki tempahan dengan memanfaatkan peluang daripada kuota LSS5 dan LSS5+ sebanyak 4.0 gigawatt.
Selain itu, inisiatif terbaru kerajaan seperti sistem penyimpanan tenaga bateri dan skim penggunaan sendiri memberi laluan baharu untuk mengukuhkan saluran projek dan menyokong pertumbuhan jangka panjang kami dalam sektor tenaga boleh diperbaharui di Malaysia,” menurut Solarvest.
Di bawah program Powervest syarikat telah memperoleh kapasiti terkumpul sebanyak 130MWp daripada pelbagai perjanjian pembelian tenaga korporat, yang dijangka menjana RM50.4 juta dalam hasil tahunan berulang selepas siap dalam tempoh 12 hingga 18 bulan. - DagangNews.com








