SNS Network, Mimos tubuhkan syarikat usaha sama perkasa jaminan digital negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SNS Network, Mimos tubuhkan syarikat usaha sama perkasa jaminan digital negara

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Okt – Syarikat penyedia produk dan perkhidmatan teknologi maklumat (IT) serta komunikasi, SNS Network Technology Bhd kini bekerjasama dengan Mimos Bhd bagi menyediakan perkhidmatan semakan sistem digital dan jaminan kualiti di Malaysia.

 

Kedua-dua pihak menubuhkan syarikat usaha sama, Mimos Network Sdn Bhd untuk melaksanakan perkhidmatan Jaminan Kualiti Digital (DQA) serta Pengesahan dan Pengesahan Bebas (IV&V) susulan pemeteraian perjanjian usaha sama strategik itu. 

 

Langkah itu mengukuhkan kerjasama selepas kedua-dua pihak menandatangani memorandum persefahaman pada Disember tahun lalu bagi meneroka bentuk kolaborasi tersebut.

 

DQA merupakan kaedah pendekatan untuk memastikan kualiti, fungsi, keselamatan, prestasi dan pengalaman pengguna bagi produk serta ekosistem digital. 

 

Ia lebih menyeluruh daripada ujian perisian biasa kerana turut melibatkan sistem digital moden yang semakin canggih dan saling berhubung.

 

Sementara itu, IV&V pula adalah proses ketat yang menyediakan penilaian bebas dan tidak berpihak terhadap proses, produk dan hasil sesuatu projek. 

 

Kaedah ini sering digunakan untuk sistem berskala besar, kompleks atau kritikal, di mana kegagalan boleh memberi kesan besar kepada organisasi.

 

Di bawah perjanjian tersebut, SNS Network akan memegang 49% ekuiti dalam Mimos Network, manakala Mimos Holdings Sdn Bhd dan Kelab Kebajikan dan Rekreasi Mimos masing-masing akan memiliki 46% dan 5%.

 

Mimos Holdings merupakan cabang pemerkasaan komersial strategik Mimos, sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

 

Dalam satu kenyataan bersama, dua syarikat itu berkata, dengan gabungan  kepakaran penyelidikan dan pembangunan mendalam Mimos bersama kekuatan komersial serta operasi SNS Network, kerjasama itu akan menyediakan perkhidmatan ujian, pensijilan dan pengesahan bertaraf dunia kepada sektor awam dan swasta. 

 

Mimos Network akan memberi tumpuan kepada industri utama seperti kewangan, telekomunikasi, penjagaan kesihatan, pembuatan dan pendidikan, yang memerlukan kebolehpercayaan serta integriti data yang tinggi,” menurut kenyataan itu. 

 

Sementara itu, Pengarah urusan SNS Network, Ko Yun Hung berkata, kerjasama tersebut adalah satu pencapaian penting dalam peluasan berterusan syarikat ke dalam perkhidmatan jaminan digital dan pematuhan bernilai tinggi.

 

“Dengan menggabungkan kepakaran operasi kami bersama penyelidikan Mimos, kami boleh membantu perusahaan dan agensi awam membina keyakinan terhadap sistem digital yang menjadi asas pertumbuhan mereka,” katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Mimos Holdings, Razman Jaafar pula berkata, selain penyelesaian jaminan kualiti digital dan perkhidmatan IV&V, Mimos Network juga akan menawarkan automasi ujian, penilaian risiko dan perundingan pematuhan. 

 

“Ia turut menyediakan latihan dan khidmat nasihat dalam bidang tadbir urus kecerdasan buatan (AI), pengesahan blockchain, pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), perlindungan data peribadi serta ketahanan siber.

 

“Mimos Network juga akan meningkatkan piawaian negara dalam bidang ujian dan pensijilan, memastikan inovasi bukan sahaja canggih, tetapi juga boleh dipercayai dan selamat,” katanya.

 

Penubuhan Mimos Network ini selaras dengan inisiatif Malaysia Digital dan usaha MOSTI untuk memperkukuh ekosistem kepercayaan serta pematuhan digital negara, dengan matlamat meletakkan Malaysia sebagai hab serantau bagi jaminan dan pensijilan digital. - DagangNews.com