KUALA LUMPUR 11 April – AirAsia brand co (Abc) melancarkan siri animasi digital terbaharu berjudul AirAsia Buds Adventures di saluran YouTube rasmi @AirAsiaBuds, dengan 12 episod mingguan yang memberi fokus kepada tema penerokaan, persahabatan dan kerjasama, khusus untuk penonton kanak-kanak dan keluarga.
Ketua Pegawai Eksekutif Abc, Rudy Khaw berkata, pelancaran siri itu merupakan langkah strategik untuk membina hubungan emosi dengan generasi baharu menerusi kandungan hiburan yang segar dan mendidik.
"Dalam landskap kandungan hari ini, YouTube telah menjadi hab utama hiburan keluarga dan platform terbaik untuk memperkenalkan watak-watak baharu kepada penonton global," katanya dalam satu kenyataan.
Siri tersebut diterbitkan dengan kerjasama Moonbug Entertainment, syarikat kandungan terkenal yang sebelum ini berjaya menghasilkan pelbagai siri animasi popular di seluruh dunia.
Melalui AirAsia Buds Adventures, penonton akan diperkenalkan kepada empat watak Utama iaitu Tappy si tenuk pengembara, Bam si gajah kerdil yang tenang, Ogu si orang utan bergaya, dan Biggie si nakal.
Bersama-sama mereka penonton akan mengembara merentasi ASEAN dan rantau sekitarnya menjalani misi yang penuh keseronokan dan nilai-nilai murni.
Menurut Pengarah Jualan Iklan dan Perkongsian Jenama, Asia Pasifik di Moonbug, Simon Barnett berkata, kejayaan kandungan animasi bergantung kepada keupayaannya menyentuh hati keluarga serta membina hubungan jangka panjang dengan penonton.
"Pihak kami amat teruja untuk membawa pengalaman itu ke dalam kerjasama bersama AirAsia dengan harapan watak-watak AirAsia Buds akan menjadi kegemaran baharu dalam kalangan keluarga di seluruh rantau ini," kata beliau dalam satu kenyataan.
Bagi memeriahkan lagi pelancaran siri tersebut, AirAsia turut melaksanakan pelbagai inisiatif promosi termasuk aktiviti kemunculan maskot di lokasi terpilih, program kerjasama bersama pempengaruh keibubapaan serta kempen digital menerusi saluran rasmi AirAsia seperti Instagram, TikTok, dan YouTube.
Usaha itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan keterlihatan jenama malah menegaskan komitmen syarikat dalam menjangkau khalayak yang lebih muda secara kreatif dan menyeluruh.
Episod-episod AirAsia Buds Adventures kini boleh ditonton secara percuma menerusi saluran YouTube rasmi di youtube.com/@AirAsiaBuds.- DagangNews.com








