Shell lancar rangkaian pengecasan berprestasi tinggi pertama di Pantai Timur | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Shell lancar rangkaian pengecasan berprestasi tinggi pertama di Pantai Timur

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Mac — Shell Malaysia melancarkan rangkaian Pengecasan Berprestasi Tinggi (HPC) pertama di Malaysia melibatkan laluan dari Pantai Timur ke Pantai Barat, yang menawarkan pengecasan pantas untuk kenderaan elektrik (EV) sehingga 180kW.
 

Syarikat tersebut berkata, pembukaan kemudahan terbaharu itu membolehkan pemandu EV merasai perjalanan yang lebih lancar dan tanpa kebimbangan di seluruh Semenanjung Malaysia dan menandakan satu pencapaian penting dalam usaha Shell memperluaskan rangkaian HPC.
 

Ia turut berharap dapat melengkapkan kesalinghubungan pengecasan dari negeri-negeri Pantai Timur ke Pantai Barat dan dari Kuala Lumpur ke Terengganu, sambil melengkapi rangkaian wilayah Utara-ke-Selatan yang menghubungkan Johor ke Perak.
 

"Sama ada perjalanan harian, jarak jauh, atau waktu puncak seperti musim perayaan, termasuk sambutan Hari Raya Aidilfitri, kami meningkatkan kemudahan dan mengurangkan kebimbangan jarak bagi komuniti EV yang semakin berkembang di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
 

Shell jelasnya, berada di barisan hadapan dalam memperluaskan infrastruktur pengecasan EV di Semenanjung Malaysia, dan syarikat berkenaan turut komited untuk terus menyokong proses peralihan tenaga negara serta elektrifikasi sektor pengangkutan.
 

Koridor Pantai Timur selama ini dianggap sebagai kawasan yang mencabar bagi pengecasan HPC EV, namun Shell menyatakan komitmennya untuk mengubah keadaan itu serta merapatkan jurang penting dengan pelancaran rangkaian Shell Recharge HPC terbaharu di Pahang dan Terengganu.

shell1

 

Pengurus Besar, Mobiliti dan Kemudahan, Shell Malaysia,Seow Lee Ming berkata, pihaknya akan terus melabur untuk membina rangkaian pengecasan yang lebih terhubung dan mudah diakses, bagi memastikan pemandu EV di Malaysia boleh memandu lebih jauh dengan penuh keyakinan.
 

"Daripada tapak HPC Shell Recharge pertama kami di Tangkak, Johor hingga ke hab pengecasan EV yang mencatat rekod di Genting Highlands, rangkaian kami telah diperluaskan untuk memenuhi keperluan pengguna EV di seluruh negara," katanya dalam kenyataan tersebut.
 

Dalam masa terdekat, Shell akan ada tapak HPC di kawasan rehat dan rawat di Temerloh arah Kuala Lumpur di Lebuh Raya Pantai Timur, sekali gus memiliki 13 stesen HPC di Semenanjung Malaysia, dilengkapi tenaga 180kW yang membolehkan EV dicas daripada 0 ke 80 peratus dalam masa 30 minit.
 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Auto Performance, Christopher Hunter berkata, Porsche Malaysia juga kekal komited untuk memperluaskan rangkaian HPC bagi memastikan perjalanan yang lebih lancar untuk pelanggan mereka.
 

Pihaknya malah amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Shell Malaysia untuk dapat memperluaskan rangkaian HPC Timur-ke-Barat, sekali gus memperkukuhkan liputan ekosistem EV di Malaysia bermula dengan pelancaran model Taycan dan terbaharu, Macan.
 

"Kami melihat sambutan positif penggunaan EV, dan portfolio EV kami terus berkembang. Kini, pengecasan 10 hingga 80 peratus boleh dalam hanya 18 minit, manakala Macan serba elektrik, ia mengambil masa 21 minit dengan pengecas DC berkuasa tinggi Shell Recharge," katanya.
 

Situasi itu bermakna perjalanan jarak jauh di seluruh Malaysia menjadi lebih mudah, dengan masa pengecasan yang lebih singkat, dan membolehkan pemilik Porsche EV menikmati lebih banyak masa di jalan raya. - DagangNews.com