KUALA LUMPUR 24 Nov – Penyedia produk dan perkhidmatan hiburan keluarga, serta pemborong koleksi permainan, Semico Capital Berhad hari ini menandatangani perjanjian taja jamin dengan Affin Hwang Investment Bank Berhad bagi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
IPO ini melibatkan penerbitan 92.7 juta saham biasa baharu mewakili 25.7 peratus daripada jumlah modal saham selepas penerbitan, serta penjualan 18 juta saham sedia ada, mewakili lima peratus daripada jumlah modal saham selepas penerbitan.
Daripada 92.7 juta saham baharu, 18 juta saham akan ditawarkan kepada orang ramai di Malaysia, 15 juta saham diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan rakan perniagaan yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan (Peruntukan Borang Merah Jambu) manakala baki 59.7 juta saham akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Semico Capital berkata, melalui MoU tersebut, Affin Hwang bersetuju untuk menjamin 33 juta saham baru yang diperuntukkan untuk orang ramai di Malaysia dan Peruntukan Borang Merah Jambu.
Semico Capital melalui anak syarikatnya terlibat terutamanya dalam penyediaan produk dan perkhidmatan hiburan keluarga, termasuk membekalkan mesin arked dan hiburan, mengendalikan pusat hiburan keluarga di The Mines Shopping Centre, Selangor, serta memborong dan mengedarkan pelbagai mainan.
Dalam segmen hiburan keluarga, kumpulan ini merupakan pengedar eksklusif bagi pembangun permainan dan pengeluar mesin seperti Superwing dan Dreamfuns, serta memegang hak pengedaran sah bagi jenama lain termasuk ACE Amusement, UNIS dan Jakar.
Syarikat itu berkata, kerjasama ini membolehkan Semico Capital mempunyai rangkaian cawangan di seluruh Malaysia yang menawarkan produk hiburan keluarga.

Dalam segmen mainan dan koleksi, Semico Capital menyediakan produk untuk pelbagai pelanggan termasuk kedai serbaneka khusus, kedai hobi, kedai mainan, pawagam dan pusat hiburan keluarga.
Semico Capital juga adalah pengedar sah untuk Pop Mart dan turut mengedar jenama lain seperti Funism, Jotoys dan ToyCity.
Produk-produk ini boleh didapati di pelbagai kedai runcit di seluruh Malaysia.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Semico Capital, Tai Lee Chuen berkata, perjanjian taja jamin itu adalah satu pencapaian penting bagi syarikat dalam merealisasikan hasrat untuk disenaraikan di Pasaran ACE.
Beliau berkata, langkah ini menjadi asas bagi fasa pertumbuhan seterusnya, di mana syarikat berusaha mengukuhkan kedudukan pasaran dan memperluas capaian untuk memenuhi keperluan pelanggan di seluruh negara.
“Melalui IPO ini, syarikat berhasrat mengukuhkan perniagaan pembekalan mesin arked dan hiburan dan menaik taraf mesin sedia ada untuk mengikuti citarasa pengguna yang sentiasa berubah.
“Syarikat juga bercadang mengembangkan portfolio mainan dan koleksi, memperluas pasukan dan menyokong pertumbuhan jangka masa panjang,” katanya dalam satu kenyataan.
Semico Capital dijangka disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia menjelang Januari 2026, dengan Affin Hwang sebagai penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penjamin tunggal bagi IPO ini.- DagangNews.com








