Sektor penjagaan kesihatan kekal positif didorong prospek pertumbuhan teguh - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor penjagaan kesihatan kekal positif didorong prospek pertumbuhan teguh - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Jun — Sektor penjagaan kesihatan di negara ini dilihat adalah kekal positif dengan didorong oleh prospek pertumbuhan hasil akan datang yang lebih kukuh, menurut RHB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, ia turut mengekalkan penarafan 'Overweight' pada sektor itu berdasarkan tinjauan trend demografi, rancangan pengembangan dan dasar kerajaan yang menyokong.


Ia menekankan peralihan struktur jangka panjang dalam permintaan penjagaan kesihatan, dipacu oleh jumlah penduduk Malaysia yang semakin tua namun memberi amaran berhubung risiko tertentu.


Antaranya kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan, aliran trafik pesakit yang lebih rendah berbanding unjuran sebelum ini, pertumbuhan intensiti hasil dan perubahan peraturan kawal selia.


"Kami menjangkakan operator swasta menempah jumlah lebih kukuh pada asas suku ke suku untuk suku kedua 2025, berikutan tempoh perayaan yang lebih pendek," kata RHB dalam satu nota kajiannya.


Selain itu, firma berkenaan kekal yakin dengan potensi KPJ Healthcare Berhad, yang disokong oleh kualiti pendapatan semakin kukuh dan peningkatan bilangan hospital di lokasi cukup strategik.


Pemacu pertumbuhan utama kumpulan ini disokong oleh pemulihan teguh, yang memberi ruang kepada peningkatan margin daripada hospital dan pengoptimuman aset, serta lima pusat kecemerlangan. 


Berdasarkan perancangan jangka panjangnya, pusat tersebut ditetapkan untuk lebih fokus kepada aspek jantung dan paru-paru, neurologi, onkologi, ortopedik, serta pembedahan lanjutan.


"Hospital Pakar KPJ Kuala Selangor yang baru dibuka berada di landasan tepat untuk menerima pembayar baharu dan pentadbir pihak ketiga menjelang suku ketiga 2025," kata RHB Research.


Pengurusan kumpulan tersebut tambah firma itu, menjangkakan kemudahan baharu ini akan menjana pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan yang positif dalam tempoh setahun.


Sementara itu, ia turut menekankan usaha pembesaran secara berterusan oleh IHH Healthcare Berhad, termasuk penambahan 4,000 katil baharu menjelang 2028 melalui beberapa projek yang dirancang.


Ini termasuk Hospital Gleneagles di Kuching dengan 200 katil, disasarkan siap pada 2028, dan pembesaran Hospital Mount Elizabeth di Singapura yang dijadualkan siap pada separuh kedua 2025.


"Pelaksanaan IHH yang kukuh, jejak serantau bereputasi di lokasi utama, permintaan tidak anjal, dan tumpuannya kepada pelanggan mewah, memberikan daya tahan pendapatan," kata RHB Research.


Firma itu turut menjangkakan pertumbuhan mantap daripada Duopharma Biotech, disokong oleh segmen produk khusus kukuh dan kontrak baharu di bawah senarai produk diluluskan Kementerian Kesihatan.


Ia mengekalkan unjuran kumpulan itu mampu mencatat pertumbuhan teguh pada separuh pertama 2025 dibantu oleh harga bahan farmaseutikal aktif dan pengukuhan ringgit Malaysia berbanding dolar AS.


Selain itu, ia yakin dengan keputusan kerajaan membatalkan rancangan pelasaran harga ubat untuk operator hospital swasta, dan pemansuhan peraturan tertentu yang akan meningkatkan penilaian.


"Bagaimanapun pemain dengan pendedahan luar negara yang ketara mungkin masih menghadapi masalah, sebahagian besar daripada ketidaktentuan inflasi dan geopolitik," kata RHB Research. - DagangNews.com