Sedania Innovator capai penyelesaian luar mahkamah berhubung pertikaian ekuiti Offspring | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sedania Innovator capai penyelesaian luar mahkamah berhubung pertikaian ekuiti Offspring

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 Feb — Sedania Innovator Berhad akhirnya berjaya mencapai penyelesaian di luar mahkamah dengan dua individu yang mendakwa memiliki sejumlah 49 peratus kepentingan dalam perniagaan produk penjagaan kesihatan pengguna syarikat tersebut.
 

Menerusi penyelesaian itu, Sedania Corporation Sdn Bhd (SCSB) mengakhiri pertikaian dengan Karine Low dan Tan Kien Yeow, sambil menambah bahawa  anak syarikat dan pihak dalam kes tersebut, Offspring Inc Sdn Bhd, juga telah menandatangani perjanjian penyelesaian pada 7 Februari lalu.
 

Peguam cara plaintif, Tetuan David Gurupatham dan Koay mengesahkan bahawa perjanjian itu akan dilaksanakan sebagai penyelesaian penuh dan muktamad dengan plaintif tidak akan ada sebarang tuntutan, tindakan atau tuntutan lanjut terhadap SCSB dan/atau Offspring mengenai isu itu.
 

Justeru SCSB ujarnya, bakal berusaha untuk memenuhi segala kewajipan yang dipersetujui mereka serta akan terus menanggung kerugian Offspring dan syarikat terhadap sebarang tuntutan yang berkaitan dengannya.
 

Sementara itu, memandangkan isu kemelut berkenaan telah dapat diselesaikan di luar mahkamah, ia menjelaskan bahawa Sedania Innovator tidak akan memberi apa-apa kesan kepada aspek kewangan dan operasi Offspring.
 

Pada 17 November 2020, Sedania Innovator menerima surat tuntutan daripada Karine dan Kien Yeow yang mendakwa mempunyai 49 peratus kepentingan ekuiti dalam modal saham terbitan dan berbayar Offspring melalui perjanjian pemegang saham yang dimeterai antara plaintif dan SCSB bertarikh 8 Oktober 2018.
 

Susulan isu berkenaan, Mahkamah Tinggi pada September 2023, memerintahkan, antara lain, pembayaran pampasan oleh SCSB sebanyak RM14.5 juta kepada dua individu tersebut. - DagangNews.com