KUALA LUMPUR 6 Nov – SD Guthrie Bhd dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan kukuh dengan keuntungan bersih meningkat sekitar 33% pada tahun kewangan 2026, disokong oleh prestasi suku ketiga (3QFY25) yang melepasi jangkaan pasaran apabila keuntungan bersih mencecah RM935 juta, kata penganalisis.
MBSB Research menaik taraf saranan saham SD Guthrie kepada Beli manakala RHB Investment Bank dan Maybank Investment Bank, masing-masing mengekalkan saranan “Beli” dengan harga sasaran baharu.
Saranan itu dibuat dengan jangkaan pertumbuhan hasil yang mampan, pemulihan pengeluaran buah tandan segar (FFB) serta potensi aset tanah yang lebih agresif dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Ketiga-tiga firma itu juga positif dengan prospek SD Guthrie disokong harga minyak sawit mentah (CPO) yang stabil sekitar RM3,800 satu tan, kecekapan kos operasi yang lebih baik serta pelan pembangunan industri yang mampu menjana pendapatan berulang sekitar RM500 juta hingga RM1 bilion dalam tempoh lima tahun.
Kesemua firma itu juga berpendapat strategi kumpulan mempercepatkan inisiatif nilai tambah termasuk pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan tanah industri akan menjadi pemacu utama pertumbuhan jangka sederhana.
MBSB Research menjangkakan keuntungan bersih SD Guthrie meningkat sebanyak 33.1% bagi tahun kewangan 2025, diikuti pertumbuhan 23.9% bagi FY26, disokong pengeluaran FFB yang kukuh dan penurunan kos baja serta buruh.
Firma itu turut menaik taraf harga sasaran saham kepada RM6.15 daripada RM5.85 sebelumnya, dengan unjuran bahawa segmen hiliran kumpulan akan menyumbang margin yang lebih baik dalam tempoh dua tahun akan datang.
"Pada harga pasaran RM5.28 sesaham (5 Nov 2025), SD Guthrie menawarkan potensi kenaikan harga sekitar +16.6% dengan hasil dividen dijangka 3.4%, menjadikan jumlah pulangan dijangka sebanyak 20% dalam tempoh 12 bulan akan datang," kata MBSB Research.
RHB Investment Bank pula mengekalkan penarafan “BUY” dengan harga sasaran baharu RM6.95 sesaham berbanding RM6.10 sebelum ini, menjangka pertumbuhan keuntungan bersih 21.8% pada FY25, 15.1% pada FY26 dan 15.5% pada FY27.
Firma itu turut mengunjurkan pendapatan berulang RM500 juta hingga RM1 bilion hasil program monetisasi tanah industri serta pembangunan strategik yang dirancang bersama rakan kongsi tempatan dan antarabangsa.
“Unjuran keuntungan FY25 hingga FY27 dinaikkan antara 27% hingga 39% berasaskan andaian harga CPO yang lebih tinggi lingkungan RM4,100 hingga RM4,350 satu tan,” kata firma itu.
RHB menambah bahawa pelaksanaan perjanjian jual beli (SPA) bagi projek pembangunan tanah di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) sedia ada akan menjadi pemangkin utama kepada peningkatan keuntungan dalam tempoh jangka sederhana.
Namun, bank pelaburan itu turut menasihatkan agar pelabur memantau kesan cuaca dan kadar hasil FFB kerana faktor tersebut masih menjadi risiko utama terhadap hasil pengeluaran.
Sementara itu, Maybank IB mengekalkan saranan “BELI” terhadap SD Guthrie dengan harga sasaran baharu RM5.75 sesaham (naik 2%) berasaskan 0.55 kali nilai aset bersih disemak semula (RNAV).
Firma itu berkata, keuntungan pembangunan industri akan diiktiraf sebagai aktiviti berulang memandangkan ia berpunca daripada pelupusan dan pembangunan tanah milik sendiri, bukannya projek pembangunan hartanah baharu semata-mata.
“Tanpa mengambil kira keuntungan luar biasa pembangunan industri, keuntungan bersih segmen perladangan bagi 3Q25 berjumlah RM489 juta, meningkat 22% YoY dan 7% QoQ, menjadikan jumlah keuntungan bersih sembilan bulan pertama (9M25) sebanyak RM1.49 bilion — menepati 85% daripada unjuran Maybank IBG bagi FY25.
“Keuntungan operasi huluan (upstream) menurun sedikit kepada RM627 juta (-3% YoY) disebabkan penyusutan pendapatan diterjemah daripada operasi Indonesia berikutan kelemahan rupiah, meskipun harga purata minyak sawit mentah (CPO) meningkat 7% YoY kepada RM4,210 satu tan dan hasil tandan buah segar (FFB) naik 1% YoY.
“Sementara itu, segmen hiliran (downstream) merekodkan pemulihan kepada RM152 juta (+21% YoY) dengan margin meningkat kepada 3.2%, berbanding 2.6% tahun lalu,” kata Maybank IB.- DagangNews.com








